Oleh Rafidah Jumat, Mohamad Asyramisyanie, Ak Fairol RMF dan Hasrulraizan
Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Hasrat untuk memiliki sebuah rumah bagi keselesaan seisi keluarga tercapai juga akhirnya apabila seramai 141 penerima di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B') hari ini menerima anak kunci bagi rumah mereka.
Berangkat bagi menyempurnakan penganugerahan anak kunci di bawah skim berkenaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis. Seramai 127 daripada mereka menerima anak kunci bagi rumah jenis 'E' di Kampung Lumapas 'A', sembilan lagi menerima anak kuci bagi rumah jenis 'D' dan lima penerima bagi rumah jenis 'E' di Kampung Mata-Mata (Katok 'B').
Sebaik selesai menyempurnakan penganugerahan anak kunci, Baginda Sultan dijunjung melawat ke sekitar kawasan sekolah berkenaan sebelum berangkat melawat ke rumah Ketua Kampung Lumapas 'A', Awang Haji Mohd Yassin Haji Hassan, Sekolah Menengah Awang Semaun dan beberapa rumah peserta yang menerima anak kunci.
Baginda Sultan kemudian berkenan melawat ke kediaman Ketua Kampung Beribi, Awang Haji Zaini Haji Othman sebelum berangkat merasmikan bangunan Sumbangsih Bahagia di Perindustrian Beribi.
Lawatan Baginda Sultan seterusnya ialah ke kawasan berhampiran termasuk ke HSBC Finance, Momo Corse Auto Company, Perbadanan TAIB, TAKAFUL IBB Berhad, Baiduri Finance Berhad, Syarikat Kumpulan GHK dan Proinsure Enterprise.
-- hak milik Media Permata
Wednesday, 27 October 2010
Baginda Sultan Kurnia Anak Kunci STKRJ
Posted by Neo Minda on 15:23
0 comments:
Post a Comment