Oleh Rafidah Jumat, Mohamad Asyramisyanie & Ak Fairol RMF
Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bagi menyempurnakan penganugerahan anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B') bagi daerah Brunei dan Muara.
Seramai 141 orang penerima, membabitkan 127 penerima bagi rumah jenis 'E' di Kampung Lumapas 'A', sembilan penerima bagi rumah jenis 'D' dan lima penerima lagi bagi rumah jenis 'E' di Kampung Mata-Mata (Katok 'B') menerima anak kunci rumah masing-masing yang disempurnakan oleh Baginda Sultan.
Majlis itu diadakan di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis dan dibuka dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, daerah Brunei dan Muara.
Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamain Haji Momin dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, sejak Rancangan Perumahan Negara dibukakan pada tahun 1980 dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati pada 1984, lebih 69,000 permohonan telah diterima.
Katanya lagi daripada jumlah itu, seramai 50,000 pemohon adalah bagi Rancangan Perumahan Negara dan selebihnya (19,000) adalah bagi Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.
Menurut bahagian pembangunan masyarakat dan perhubungan awam di Jabatan Kemajuan Perumahan, sehingga Oktober 2010, lebih 3,592 buah rumah telah pun diperuntukkan kepada pemohon yang berjaya di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.
Selain itu lebih 1,000 pemohon di bawah skim yang sama mendapat perkenan dari Baginda Sultan dan kini, masih menunggu peruntukan rumah dari tahun permohonan.
Kira-kira 17,500 buah rumah akan siap dibina sehingga tahun 2014 dan mengikut program perlaksanaan projek perumahan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan, Jabatan Kerja Raya, lebih 10,000 buah rumah sedang dan akan dibina dan dijangka siap sehingga tahun 2012.
Sebanyak 7,500 buah rumah lagi sedang dan akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan dijangka siap sehingga tahun 2012 dan 2014.
Di majlis itu Baginda Sultan turut berkenan melancarkan kawasan kemajuan pertanian, Projek Penanaman Padi Batang Perhantian dengan menandatangani plak pelancaran serta menyaksikan kerja-kerja pembukaan kawasan berkenaan.
Baginda Sultan seterusnya berkenan berangkat melawat ke Rumah Ketua Kampung Lumapas A dan Sekolah Menengah Awang Semaun di Mukim Lumapas sebelum berkenan singgah ke rumah penerima-penerima rumah jenis 'E' di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lumapas 'A'.
Di sana Baginda berkenan membuat kunjungan dan bercemar duli bersama penduduk STKRJ Kampung Lumapas 'A' sebelum berangkat ke rumah Ketua Kampung Beribi dan berkenan berangkat melancarkan Sumbangsih Bahagia.
-- hak milik Media Permata
0 comments:
Post a Comment