Sunday, 31 October 2010

Asean+3 Menyumbang Pembangunan Dan Kestabilan Serantau

Twitter Facebook More

Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Hanoi, Viet Nam

Hanoi, Viet Nam (30/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa mekanisme ASEAN+3 telah menjadi proses yang paling dinamik, efektif dan responsif untuk menangani cabaran dan keperluan penduduk di rantau ini dan banyak menyumbang kepada pembangunan, membina persefahaman dan amanah serta mengukuhkan keamanan dan kestabilan serantau.


Baginda bertitah demikian di Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara ASEAN + 3 di Pusat Persidangan Kebangsaan, Ha Noi.

Di Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama para pemimpin lain serta Perdana Menteri Jepun dan China dan juga Presiden Republik Korea berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai inisiatif.

Dalam titah baginda juga berpuas hati dengan usaha-usaha yang dibuat untuk menubuhkan Rizab Beras Kecemasan ASEAN + 3 (ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) sebagai sebuah mekanisme yang kekal untuk memastikan keselamatan makanan di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan terima kasih kepada rakan ASEAN + 3 bagi sumbangan mereka dan usaha-usaha yang telah dibuat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai isu pendidikan, yang mana telah dikenal pasti sebagai satu prioriti utama di bawah Peta Jalan Komuniti ASEAN (Roadmap for an ASEAN Community) dan berasa gembira pegawai-pegawai kanan ASEAN + 3 sedang berusaha mencari jalan untuk mengembangkan dan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ini.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment