Sunday, 31 October 2010

PBB Perlu Sokong Asean Realisasikan Pelbagai Objektif

Twitter Facebook More

Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Hanoi, Viet Nam

Hanoi, Viet Nam (30/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan sentiasa menyokong ASEAN dalam usahanya untuk mencapai beberapa objektif seperti merealisasikan Komuniti ASEAN, merapatkan jurang pembangunan di rantau ini dan juga pencapaian Matlamat Pembangunan Milenium (Millenium Development Goals).


Dalam titah baginda juga menghargai hubungan yang terjalin sekian lama di antara PBB dan ASEAN, dengan kerjasama yang meliputi pelbagai aspek bersama agensi-agensi PBB yang khusus seperti UNDP, ESCAP, UNESCO, UNICEP dan WHO. Rantau ini telah mendapat manfaat yang banyak dari kerjasama yang diberikan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Ke-3 di Pusat Persidangan Kebangsaan Ha Noi di sini.

Hadir di Sidang Kemuncak tersebut ialah Ketua-ketua Negara ASEAN dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Ban Ki-Moon. Para pemimpin bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai hubungan di antara ASEAN dan PBB.

Turut hadir di persidangan tersebut ialah Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Pada sebelah malam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan untuk menghadiri Majlis Santap Malam di Dewan Santap di Pusat Persidangan Kebangsaan, Ha Noi.

Santap malam tersebut diberikan oleh Perdana Menteri Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Tang Dung dan ketua-ketua negara ASEAN, rakan dialog, Setiausaha Agung PBB dan delegasi.

Juga hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Kewangan Kedua di JPM,Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Terdahulu dari itu pada sebelah tengah hari, baginda berkenaan untuk menghadiri satu Majlis Makan Tengah Hari Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN +3 yang telah diadakan di Pusat Persidangan Kebangsaan, Ha Noi, Viet Nam.

Hadir sama adalah Ketua-ketua Negara ASEAN, Presiden Republik Korea, Perdana Menteri Jepun dan Perdana Menteri China.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment