Wednesday, 27 October 2010

Baginda Sultan Berkenan Rasmi Bangunan Sumbangsih Bahagia

Twitter Facebook More

Oleh Rafidah Jumat, Mohamad Asyramisyanie, Ak Fairol RMF dan Hasrulraizan

Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat merasmikan Bangunan Sumbangsih Bahagia di Kompleks Perindustrian Beribi II, Gadong.


Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung Pehin Kapitan Lela Diraja Goh King Chin yang bermula di HSBC Finance dan turut menyaksikan Pengurus Besar HSBC, Tareeq Muhmood bagi menjunjung keberangkatan.

Sejurus selepas itu, Baginda Sultan dijunjung pula untuk berangkat meninjau Momo Corse Auto Company dan Perbadanan TAIB yang terdapat di bangunan Sumbangsih Bahagia itu.

Pengurus Besar Baiduri Bank, Pierre Imhof bersama Pengurus Besar Baiduri Finance, Haji Haliluddin Haji Talib kemudiannya menjunjung keberangkatan Baginda Sultan ke Cawangan Baiduri Bank di Bangunan Sumbangsih Bahagia.

Baginda Sultan berkenan diperkenalkan kepada para pegawai eksekutif lain di bank itu sebelum berkenan berangkat meninjau ke Pusat Prestij Bank Baiduri dan berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai produk dan perkhidmatan pusat terbabit.

Di majlis itu, Baginda Sultan turut berkenan menandatangani Plak bagi memperingati keberangkatan pertama Baginda di bangunan yang dilancarkan hari ini.

Baginda Sultan seterusnya berkenan berangkat ke TAKAFUL IBB Berhad sebelum berangkat ke ruang legar Syarikat Kumpulan GHK dan Proinsure Enterprise.

Di sana, Baginda Sultan berkenan merasmikan bangunan Sumbangsih Bahagia dan seterusnya berkenan menandatangani plak pelancaran bangunan itu sambil dialu-alukan pengasas Syarikat Kumpulan GHK, Pehin Kapitan Lela Diraja Goh King Chin sebelum berangkat ke majlis persantapan dan keberangkatan pulang Baginda Sultan daripada majlis berkenaan.

Lawatan Baginda ke Sumbangsih Bahagia merupakan salah satu atur cara lawatan Baginda selepas selesai menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B').

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment