Wednesday, 27 October 2010

Pejabat Penerbangan Baginda Sultan Terima Kunjungan Pelawat

Twitter Facebook More

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Kuala Belait (27/10/2010) - Seramai 40 orang di kalangan murid-murid Kelas Tadika KG 2 dan KG 3 Sekolah Tadika Alif menyertai program lawatan sambil belajar ke Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Rimba baru-baru ini.


Guru Besar Sekolah Tadika Alif, Hajah Suwaibah Haji Muda, memberitahu Media Permata hari ini, program lawatan tersebut yang turut disertai oleh seramai 10 orang guru merupakan yang pertama kali dikendalikan sekolah berkenaan yang pada masa ini mempunyai seramai lebih 90 orang murid-murid Kelas Tadika.

Menurutnya, lawatan seperti itu dilakukan dengan hasrat untuk mendedahkan murid-murid mereka yang berusia antara 4 hingga 5 tahun kepada aktiviti sosial yang di luar daripada sekolah dan yang penting adalah bagi memberikan pengetahuan dan pengalaman meluas kepada diri mereka semua bermula daripada usia kecil lagi.

Hajah Suwaibah turut memberitahu dalam lawatan itu murid-murid berpeluang dibawa melihat secara lebih dekat lagi Helikopter Baginda Sultan semasa tiba ke destinasi pertama ke Istana Darul Hana sambil mereka diberikan peluang merakamkan gambar kenangan di luar helikopter.

Sementara itu dalam lawatan mereka ke Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Rimba, rombongan pelawat dibawa ke bilik kawalan dan diberikan taklimat ringkas mengenai pengendalian penerbangan dan pengawalan keselamatan sebelum penerbangan Diraja dilakukan.

Di samping itu murid-murid juga berpeluang menyaksikan pameran gambar-gambar dalaman Helikopter Diraja yang turut memberikan rasa keseronokan mereka.

Hajah Suwaibah seterusnya memberitahu setelah tiba ke sekolah murid-murid yang menyertai lawatan akan dikumpulkan dengan murid lain untuk diadakan sesi bercerita tentang pengalaman lawatan mereka menerusi idea masing-masing.

"Dengan cara itu murid-murid akan lebih memahami dan akan menjadikannya bahan cerita sekali gus sebagai kenangan manis dan setentunya rasa keseronokan dan kegembiraan mereka tidak dapat dibayangkan lebih-lebih lagi setelah diberikan peluang keemasan itu," ujarnya.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment