Wednesday, 27 October 2010

Dayang Normaisalamah bersyukur, kini miliki rumah sendiri

Twitter Facebook More

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Rafidah Jumat, Yusrin Junaidi dan Ak Fairol RMF

Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Dayang Normaisalamah Ibrahim merasa amat bersyukur kepada Allah SWT, setelah menunggu hampir berbelasan tahun lamanya akhirnya berjaya memiliki sebuah rumah sendiri.


Katanya rumah idaman menjadi tempat berlindung yang selesa yang diimpikannya kini sudah tercapai berkat usaha dan keprihatinan yang berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Perkara itu dijelaskannya apabila ditemu bual di majlis penganugerahan anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Lumapas 'A' dan Kampong Mata-Mata (Katok 'B') bagi daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Sekolah Vokasional Wasan hari ini.

Menurut Dayang Normaisalamah yang kini berusia 70-an itu menyatakan perasaan gembira dan bersyukur apabila beliau menjadi salah seorang daripada calon penganugerahan rumah yang diadakan itu hari ini.

"Dengan anugerah perumahan STKRJ itu katanya banyak mengurangkan beban keluarga saya, sebelum ini saya tinggal di rumah yang dimiliki oleh anak menantu" dan dengan tersenyum menegaskan "penantian selama 17 tahun untuk mendapatkan rumah baru adalah berbaloi".

Seorang lagi penerima dalam majlis penganugerahan anak kunci rumah hari ini, Awang Akob Mahat, salah seorang buruh di Sekolah Rendah Pengkalan Batu menyatakan kegembiraan dan rasa bersyukurnya kepada Allah S.W.T.

Beliau yang berusia 54 tahun menyatakan "sabar dan berdoa adalah penting" dan ini jelas terbukti apabila beliau memberitahu Media Permata bahawa beliau telah membuat permohonan pada tahun 1991 dan kini memiliki rumah yang dipohonnya 11 tahun lalu.

"Hari ini saya serta keluarga memerlukan perancangan baru dalam lembaran kehidupan yang baru di rumah baru dan berharap untuk terus harmoni supaya harapan mewujudkan keluarga yang sihat dan ceria yang diidamkan semua orang, tercapai," jelasnya dengan gembira.

Menyentuh mengenai perancangan, beliau juga telah mengusahakan halaman rumah itu dengan menanam buah-buahan serta tumbuhan bagi memastikan persekitaran rumahnya itu suatu hari nanti menjadi pusat keriangan kekeluargaan khususnya untuk anak-anaknya.

Media Permata turut berpeluang menemu bual pasangan suami isteri mempunyai enam anak dan memohon rumah sejak tahun 1993 lagi yang menyatakan perasaan teruja dan keriangan apabila berjaya dicalonkan sebagai penerima anugerah kunci rumah tahun ini.

Dayang Mariani Mohamad yang sebelum ini tinggal di rumah abangnya di Kampung Ayer dan suami menjunjung kasih Kehadapan Majlis Baginda Sultan ke atas keberangkatan Baginda ke rumah baru mereka.

Katanya "kita perlu bijak merancang bagi memanfaatkan anugerah ini, dan kami berhasrat untuk menjadikan ia sebagai tempat kami sekeluarga berlindung dan menjadi tempat bagi kami melahirkan keluarga yang bahagia".

Suaminya pula menegaskan "kemudahan yang dikurniakan kepada kita wajib di manfaatkan, bukan sahaja dari segi fizikalnya malah juga daripada aspek kerohanian dan keagamaan dalam sesebuah institusi kekeluargaan".

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment