Wednesday, 27 October 2010

JAPTIM Anjur Konvensyen Latihan Terbaik

Twitter Facebook More

Oleh Salawati Haji Yahya

Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Sebanyak 12 kertas kerja dari pelbagai bidang dibentangkan hari ini dalam Konvensyen Latihan Terbaik buat julung kalinya anjuran Jawatankuasa Pengetua dan Timbalan Pengetua Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Kerajaan (JAPTIM) di negara ini.


Konvensyen berkenaan antara lain bertujuan untuk membudayakan kongsi sama amalan terbaik pengurusan sekolah di kalangan pentadbir sekolah.

Dalam temu bual Media Permata dengan pengerusi majlis selaku Pengerusi JAPTIM, Pengiran Haji Zahari Pengiran Haji Ahmad berkata, "konvensyen ini, selain untuk berkongsi sama amalan terbaik yang terdapat di sekolah ia juga dapat dijadikan garis pandu dalam usaha meningkatkan lagi tahap pendidikan di sekolah masing-masing."

Pengiran Haji Zahari seterusnya menjelaskan, konvensyen itu akan dijadikan sebagai program tahunan JAPTIM dalam usaha menjana ke arah pengurusan sekolah menengah dan maktab yang gemilang dalam menghasilkan pendidikan cemerlang untuk semua penuntut dan pendidikan kurikulum SPN 21.

"Pada Januari 2011 depan, Forum Sekolah Asia Tenggara akan diadakan di negara ini", tambahnya. Menurut Pengiran Haji Zahari lagi, "pada konvensyen ini, anugerah sekolah latihan terbaik dikategorikan kepada enam bidang antaranya inovatif dan kreativiti, impak, keberkesanan dan berdaya tahan".

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Lecture Teater, Pusat Tingkatan Enam Katok itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kurikulum di Kementerian Pendidikan, Haji Kassim Mohammad Yassin.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment