Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Huawei Technologies telah telah memperoleh kontrak memajukan rangkaian jalur lebar di Negara Brunei Darussalam.
Menurut laporan laman web Global Telecom Business hari ini, syarikat vandor China itu akan menjadi pembekal eksklusif bagi projek rangkaian jalur lebar generasi baru kepada Telekom Brunei Berhad (TelBru) menggunakan teknologi fiber ke rumah (fiber-to-the-home technology - FTTH).
Rangkaian tersebut yang akan meliputi ke seluruh empat daerah akan membolehkan pelanggan menikmati kadar pemindahan data yang maksimum 150 megabit sesaat.
TelBru merupakan satu-satunya operator rangkaian tetap di Brunei yang menyediakan pelbagai perkhidmatan telekomunikasi ke seluruh negara termasuk perkhidmatan suara, jalur lebar, pengangkutan dan ISP.
Tatkala permintaan pelanggan terus berkembang, TelBru berazam untuk menambah baik legasi rangkaiannya dengan memajukan infrastruktur FTTH BNBN (BNBN merujuk kepada Rangkaian Jalur Lebar Generasi Baru Brunei) untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan jalur lebar ultra seperti Internet berkelajuan tinggi dan TV definisi tinggi (HD TV).
Menurut laporan itu, Huawei akan menyediakan perkhidmatan hujung-kehujung, termasuk peralatan aktif dan pasif, rangkaian sebaran optikal, pengurusan rekaan rangkaian dan pembinaan.
Projek itu akan dijalankan secara empat peringkat dan apabila siap nanti ia akan memberi manfaatkan kepada lebih 40,000 pelanggan di Brunei.
Sementara itu akhbar The Wall Street Journal edisi online hari ini memetik Pengarah Projek Telekom Brunei Berhad, Rasidi Haji Osman sebagai berkata, ia merupakan satu projek strategik yang penting bagi TelBru dan juga Negara Brunei Darussalam kerana ia akan menawarkan pengalaman perkhidmatan terbaik kepada pelanggan-pelanggan kediaman dan perniagaan di seluruh negara.
"Kami berkeyakinan penuh Huawei akan menyediakan penyelesaian inovatif dan berkualiti tinggi serta khidmat yang pantas."
Huawei merupakan syarikat peneraju dalam penyediaan penyelesaian rangkaian telekomunikasi generasi akan datang bagi operator-operator di seluruh dunia. Ia kini menyediakan khidmat untuk 45 daripada 50 operator terkemuka dunia, bersama-sama dengan lebih 1 bilion pengguna di seluruh dunia.
-- hak milik Media Permata
0 comments:
Post a Comment