Wednesday, 27 October 2010

Taklimat TAP, SCP Isi Kandungan Kursus Pra-Nikah

Twitter Facebook More

Oleh Hasrulraizan

Dayang Nurul Jafriah ketika menyampaikan taklimat "Perancangan Kewangan" sambil diperhatikan oleh Awang Rosli yang terdahulunya menyampaikan taklimat mengenai TAP dan SCP.

Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Taklimat mengenai Tabung Amanah Pekerja (TAP), Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP) dan Perancangan Kewangan kini sudah mula dimasukkan sebagai salah satu isi kandungan Kursus Pra-Nikah, yang dihadiri suami-isteri baru berkahwin dan pasangan yang akan berkahwin.


Kerjasama antara TAP dengan pengendali Kursus Pra-Nikah, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga Islam, Jabatan Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu merupakan salah satu langkah terbaru ke arah menerapkan dan menanamkan sikap suka menabung dan merancang kewangan di dalam diri rakyat dan penduduk tetap negara ini khususnya bagi mereka yang mencapai peringkat kehidupan seterusnya, berkahwin.

Taklimat seumpamanya diadakan dua hari dalam sebulan iaitu sehari bagi kumpulan lelaki dan sehari lagi bagi kumpulan perempuan yang menghadiri Kursus Pra -Nikah, yang merupakan satu kemestian bagi setiap pasangan yang telah mendaftar untuk bernikah di negara ini.

Taklimat mengenai TAP dan SCP disampaikan oleh Pemangku Ketua Jabatan Komunikasi Korporat TAP, Awang Rosli Haji Haron, manakala Taklimat Perancangan Kewangan disampaikan oleh Pegawai Perancang Kewangan BIBD, Dayang Nurul Jafriah Abdullah.

Rosli antara lain menyentuh mengenai Proses Skim TAP seperti pendaftaran pembayaran caruman, dividen, penyata kira-kira ahli, skim-skim pengeluaran dan kuasa undang-undang dan kemudiannya menyentuh mengenai objektif, kelayakan, kadar caruman, jumlah minimum dan maksimum caruman bagi SCP.

Dayang Nurul Jafriah pula menyentuh mengenai peri pentingnya perancangan kewangan bagi mencapai impian dan matlamat seseorang itu lebih-lebih lagi bagi yang sudah berkeluarga sendiri ke arah menjamin kebebasan dari masalah kewangan di masa hadapan.

Menurutnya, pelbagai cara boleh diamalkan seperti menghasilkan serta mengumpul harta dan wang, menggunakan harta dan wang dengan bijak, melindungi serta mengekalkan harta dan wang, dan menambahkan harta dan wang.

Bagi yang baru berkahwin, kepentingan akan menjadi lebih tinggi lagi dalam persiapan menerima kelahiran anak pertama dan seterusnya, dan kemudiannya persiapan bagi membiayai persekolahan anak-anak mereka sehingga berjaya ke menara gading, di samping persiapan masing-masing menghadapi hari tua dan persaraan, ujarnya.

Taklimat yang diadakan di Bilik Serbaguna Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah hari ini dihadiri sekitar 60 orang lelaki terdiri dari suami dan bakal suami. Taklimat yang sama akan diadakan lagi esok bagi kumpulan perempuan pula yang merupakan isteri dan bakal isteri kepada para peserta lelaki yang menghadiri Kursus Pra-Nikah berkenaan hari ini.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment