Wednesday, 27 October 2010

Kesejahteraan, Keselesaan Rakyat Diutamakan

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim, Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi & Nooratini Hj. Abas

Mukim Pengkalan Batu (27 Oktober) - Hasrat 141 pemohon di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B'), Gadong untuk memiliki rumah sendiri akhirnya terlaksana dengan sempurnanya penganugerahan anak-anak kunci rumah masing-masing.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat dan seterusnya menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah tersebut.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Badaruddin bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Dalam sembah alu-aluannya, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Jamain bin Momin menyembahkan keberangkatan Kebawah DYMM itu merupakan satu anugerah serta penghormatan yang amat tinggi nilainya dan memberi makna yang amat besar kepada para penerima.

Tidak syak lagi katanya, kurnia penganugerahan itu mencerminkan sikap keprihatinan, pemedulian serta kasih sayang baginda terhadap rakyat baginda yang bernaung di bumi Brunei Darussalam yang sentiasa diberkati lagi amat bertuah ini.

Kebawah DYMM seterusnya dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan untuk menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah STKRJ Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B').

Di majlis itu seramai 127 penerima jenis rumah 'E' bagi Kampung Lumapas 'A', 9 penerima jenis rumah 'D' dan 5 penerima jenis rumah 'E' bagi Kampung Mata-Mata (Katok B) menerima anak-anak kunci rumah masing-masing.

Doa selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara.

Lebih 69 ribu permohonan telah diterima sejak Rancangan Perumahan Negara (RPN) dibukakan pada tahun 1980 dan STKRJ pada tahun 1984, iaitu lebih 50 ribu bagi RPN dan lebih 19 ribu bagi STKRJ.

Manakala sehingga Oktober tahun ini, lebih 3,592 buah rumah telah diperuntukkan kepada para pemohon yang berjaya di bawah STKRJ. Lebih 1,000 pemohon di bawah STKRJ telah mendapat perkenan dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan masih menunggu bagi peruntukan rumah dari tahun permohonan.

Sementara itu kira-kira 17,500 buah rumah lagi akan siap dibina sehingga tahun 2014 di mana lebih 10 ribu buah rumah sedang dan akan dibina dan dijangka siap sehingga tahun 2012 manakala 7,500 buah rumah lagi sedang dan akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan dijangka siap sehingga tahun 2012 dan 2014.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment