Wednesday, 27 October 2010

Projek Penanaman Padi Seluas 70 Hektar Dilancarkan

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim, Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi & Nooratini Hj. Abas

Mukim Pengkalan Batu (27 Oktober) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat melawat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran pembukaan Kawasan Kemajuan Pertanian, Projek Penanaman Padi Batang Perhantian, di sini. Majlis pelancaran dibuat sejurus selepas menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B'), Gadong bagi Daerah Brunei dan Muara, di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu.


Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Pemangku Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan dijunjung oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Di majlis pelancaran itu baginda berkenan menandatangani plak pelancaran serta menyaksikan kerja-kerja pembukaan kawasan berkenaan.

Kawasan Kemajuan Pertanian Projek Penanaman Padi Batang Perhantian berkeluasan kira-kira 70 hektar, akan diusahakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta peladang dan akan dimajukan sepenuhnya dengan menggunakan mekanisasi dan penggunaan teknologi-teknologi tinggi dalam penanaman padi.

Di samping itu seluas 20 hektar kawasan di Sekolah Vokasional Wasan juga dibuka oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk diusahakan oleh para penuntut di sekolah berkenaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga dijunjung berangkat menyaksikan pameran mengenai kawasan-kawasan baru dibuka yang dikenal pasti di daerah Brunei/Muara dan pameran pengurusan penanaman padi.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment