Sunday, 31 October 2010

Klinik Nasihat Guaman Percuma 30 Oktober Ini

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (29/10/2010) - Pertubuhan Pengamal Undang-Undang Brunei Darussalam (The Law Society of Brunei Darussalam) akan mengadakan klinik nasihat guaman percuma yang kedua pada 30 Oktober ini ekoran sambutan menggalakkan terhadap klinik pertama yang diadakan bulan lalu.


Menurut kenyataan pertubuhan itu hari ini, pihak Pertubuhan Pengamal Undang-Undang Brunei Darussalam akan meneruskan klinik nasihat percuma itu pada hari Sabtu terakhir setiap bulan.

Klinik kedua pada Sabtu ini akan diadakan di tingkat bawah Bangunan Mahkamah Rendah dan Undang-undang, Batu 1 Jalan Tutong dari pukul 9.00 pagi hingga 12 tengah hari.

Kenyataan itu berkata, klinik tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hal undang-undang dengan menyediakan khidmat rundingan secara percuma kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat yang mungkin tidak berkemampuan untuk mendapatkan nasihat undang-undang.

Khidmat nasihat itu diakan diberikan berdasarkan siapa dahulu didahulukan kepada orang ramai yang mahu mendapatkan nasihat mengenai hal-hal sivil, jenayah dan syariah. Mereka hendaklah tidak mengambil khidmat mana-mana peguam dan menunjukkan kad pengenalan, alamat kediaman dan bukti pendapatan bulanan tidak melebihi $750.

Klinik itu dikendalikan oleh ahli-ahli pertubuhan berkenaan secara bergilir-gilir. Pertubuhan Pengamal Undang-undang Brunei Darussalam ditubuhkan mengikut Arahan Profesion Undang-undang 2003 dan keanggotaannya terdiri daripada semua peguam bela dan peguam cara yang menjalankan amalan guaman mereka di negara ini.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment