Oleh : Nooratini Hj. Abas
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal menyerahkan bendera kebangsaaan kepada Ketua Kontinjen SSEAYP 2010, Dayang Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)
Bandar Seri Begawan (26 Oktober) - Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal menyarankan kepada para peserta kontinjen Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara 2010 (SSEAYP 2010) supaya menjaga keselamatan diri masing-masing di samping menjaga nama baik negara.
Dato Paduka menyarankan perkara itu di Majlis Penyerahan Bendera Kebangsaan kepada serombongan 28 peserta rancangan tersebut sejurus sebelum bertolak meninggalkan negara ini pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Juga mengucapkan selamat berlepas kepada para peserta ialah pegawai-pegawai dan kakitangan KKBS, ibu bapa serta rakan-rakan para peserta SSEAYP 2010.
Acara dimulakan dengan bacaan doa selamat dan penyerahan bendera kebangsaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Jemat kepada ketua kontinjen SSEAYP 2010, Dayang Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman.
Majlis tersebut juga diserikan dengan persembahan 'Cheers' oleh peserta SSEAYP 2010 dan sesi bergambar ramai.
Setiausaha Tetap KKBS mengucapkan selamat belayar kepada para peserta SSEAYP 2010. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)
Rancangan pertukaran belia antarabangsa bagi negara-negara anggota ASEAN ini bertujuan untuk mengenali dan mempelajari berbagai kegiatan dalam semua aspek cara hidup, adat budaya, politik dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Rancangan Kapal Belia Ke-37 tahun ini bermula dari 25 Oktober hingga 16 Disember 2010 selama 53 hari.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment