Tuesday, 26 October 2010

Para Penerima Pingat Kehormatan Bersyukur, Menjunjung Kasih

Twitter Facebook More

Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid & Aimi Sani

Awang Haji Esa bin Kula. (Foto : Aimi Sani)

Bandar Seri Begawan (26 Oktober) - Para penerima Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam melahirkan rasa syukur dan menyembahkan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas pengurniaan pada majlis yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana Istana Nurul Iman.


Salah seorang penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Kerja Lama (PKL), Awang Haji Esa bin Kula ketika ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI berkata, beliau berasa amat gembira dan bersyukur kerana penganugerahan itu adalah sebagai tanda penghormatan kerana kerja yang beliau laksanakan dinilai dan dilihat bukan sahaja di dalam pejabat tetapi juga di luar lingkungan bertugas.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) telah berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama 26 tahun.

Percaya pada diri sendiri, membuat yang terbaik di samping bertanggungjawab ke atas tugas-tugas yang diamanahkan serta sentiasa berfikiran positif, kreatif dan inovatif adalah rahsia beliau hingga mendapat pingat kehormatan tersebut.

Awang Haji Mohammad Jaafar bin Haji Awang Ering. (Foto : Aimi Sani)

Sementara itu, Awang Haji Mohammad Jaafar bin Haji Awang Ering seorang Pemandu Tingkat 1 di KKBS yang berkhidmat selama 23 tahun juga merasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mendapat PKL yang merupakan pingat kedua beliau terima selain Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) yang beliau terima beberapa tahun lalu.

Menurutnya, waktu bekerja harus dijaga, sentiasa patuh pada setiap arahan ketua, sanggup bekerja lebih masa adalah antara prinsip beliau sepanjang berkhidmat di Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Dayang Hajah Rusiah binti Haji Abd. Kadir. (Foto : Aimi Sani)

Manakala Dayang Hajah Rusiah binti Haji Abd. Kadir, Penyelia Asrama Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit yang berkhidmat selama 25 tahun menyatakan, ini merupakan kali pertama beliau menerima PKL.

Beliau yang melahirkan rasa syukur atas pengurniaan Pingat Kehormatan itu tidak menyangka akan memperolehi pingat tersebut.

Bagi beliau, kejujuran, keikhlasan dan amanah semasa bertugas adalah penting kepada setiap pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Perkhidmatan Awam dan bukan kerana makan gaji atau untuk imbuhan semata-mata.

Dayang Masitah binti Haji Tengah. (Foto : Aimi Sani)

Seorang lagi penerima PKL, Dayang Masitah binti Haji Tengah yang bertugas di KKBS dan menerima pingat buat kali kedua juga merasa bersyukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah DYMM atas pengurniaan tersebut.

Beliau berazam akan terus berusaha gigih dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di masa hadapan.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment