Wednesday, 27 October 2010

Murid SR Tutong Kem jelajah Tasik Merimbun

Twitter Facebook More

Oleh NAJ

Tutong (27/10/2010) - Satu rombongan murid-murid Tahun 4 Sekolah Rendah Tutong Kem, Tutong I diketuai oleh Cikgu Hajah Mariani, Cikgu Abas dan Cikgu Zulmie hari ini menyertai program Ekplorasi Alam mengadakan lawatan ke Taman Warisan Merimbun, di sini.


Aktiviti dimulakan dengan penerangan mengenai Taman Warisan Tasek Merimbun dan aspek-aspek keselamatan yang perlu dipatuhi semasa membuat lawatan di taman berkenaan. Sambil melalui jejak hutan, para pelajar berpeluang untuk mendengar taklimat flora dan fauna oleh jurupandu. Mereka juga berpeluang menyaksikan dan turut sama dalam aktiviti melepaskan seekor ayam hutan ke dalam hutan di taman berkenaan.

Setelah merentas hutan selama hampir sejam, para peserta rombongan beredar ke muzium yang terletak di kawasan berdekatan bagi melihat barang-barang pameran yang berkaitan dengan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan serta flora dan fauna yang terdapat di sekitar kawasan Taman Warisan Tasek Merimbun.

Tasik yang mempunyai keluasan kawasan seluas 7,800 hektar ini telah dikenal pasti sebagai satu aset yang berharga oleh pihak kerajaan pada tahun 1967 dan kemudiannya diisytiharkan sebagai Taman Warisan ASEAN pada 29 November 1984.

Tasik ini mengandungi empat buah pulau antaranya Pulau Merah, Pulau Jelundong dan Pulau Labi-Labi. Sebahagian pelajar telah berpeluang untuk melihat Pulau Labi-Labi yang mana menurut jurupandu bot, ianya dinamakan sedemikian kerana bentuk pulau tersebut menyerupai seekor labi-labi. Walau bagaimanapun, rupa sebenar pulau ini hanya dapat dilihat dalam keadaan air sedang surut sahaja.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment