Oleh : Aimi Sani
Sungai Akar (30/10/2010) - Pegawai-pegawai Kadet yang telah terpilih menyertai latihan Pegawai Kadet merupakan harapan bangsa untuk mendukung aspirasi keamanan dan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappha bin Haji Sirat ketika berucap demikian berkata, mereka juga bakal barisan pelapis dan seterusnya akan memegang tampuk kepimpinan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), benteng utama pertahanan negara.
Dato Paduka menyatakan perkara itu kepada 37 orang Pegawai-pegawai Kadet baru ketika Perasmian Latihan Pegawai Kadet Pengambilan Kelima ABDB di Sekolah Pegawai Kadet ABDB, Perkhemahan Sungai Akar.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Pemerintah-pemerintah Unit Tentera, Komandan Institut Latihan ABDB, Pengarah-pengarah Tentera, pegawai-pegawai kanan dan ibu bapa para Pegawai Kadet.
Dalam ucapan itu Dato Paduka berkata para rekrut pengambilan ke-5 ini bahawa apa yang akan diajarkan kepada mereka itu, melalui segala latihan dan asuhan, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pertahanan untuk melahirkan barisan kepimpinan yang berilmu, beriman dan berjiwa tinggi, dan sesuai dengan moto Sekolah Pegawai Kadet ABDB, iaitu "Setia, takwa dan berani".
Menurutnya lagi, untuk menjamin keselamatan dan kesinambungan bangsa katanya, semua negara perlu mempunyai pertahanannya sendiri tidak kiralah sama ada negara itu besar ataupun kecil mahupun bangsa atau perundangannya.
Sekolah Pegawai Kadet (SPK) ABDB mengalu-alukan pengambilan ke-5 yang dijadualkan untuk menjalani latihan di sekolah tersebut mulai 30 Oktober 2010 hingga penghujung Julai 2011.
Daripada 37 orang Pegawai Kadet tersebut, 15 orang akan menjalani latihan tentera darat, 11 orang akan menjalani latihan tentera laut dan 11 orang lagi akan menjalani latihan tentera udara.
Semasa pengambilan ini, 27 orang adalah kadet lelaki dan selebihnya kadet wanita. Sebelum menjalani latihan di SPK, pegawai kadet tersebut telah melalui satu proses pemilihan di mana kebolehan dari segi fizikal dan mental dibuat penilaian oleh Badan Penauliahan Angkatan Tentera.
Kursus Pegawai Kadet ini akan dijalankan selama 43 minggu iaitu 17 minggu di peringkat am dan latihan asas ketenteraan, 19 minggu pula berfokus kepada latihan kepakaran selaras dengan jurusan angkatan tentera masing-masing, manakala enam minggu melibatkan latihan bersama angkatan-angkatan tentera.
Selepas mengikuti latihan umum gabungan ketiga angkatan tentera, pegawai-pegawai kadet akan mula diserapkan dalam unit tentera masing-masing dimana mereka akan meneruskan latihan sebagai Pegawai Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.
Pada semester terakhir, Pegawai Kadet akan melalui perkembangan profesional lanjutan termasuk latihan ketenteraan, penilaian terakhir dan kawalan perbarisan yang mana hanya kadet yang memenuhi tahap yang telah ditetapkan akan ditauliahkan menjadi seorang pegawai tentera ABDB secara rasmi sebelum meneruskan latihan di unit tentera masing-masing.
ABDB terus cekal dalam mengerjakan inisiatif-inisiatif bagi memperkukuhkan taraf pengambilan serta menambahkan lagi jumlah pegawai-pegawai supaya berkhidmat dengan ABDB dan dilatih sebagai sebahagian dari pelan perkembangan dan pengurusan sumber manusia secara menyeluruh.
Kepentingan inisiatif-inisiatif ini turut ditekankan di dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2007 yang mana penubuhan pusat-pusat kecemerlangan dikekalkan sebagai salah satu matlamat utama.
SPK merupakan salah satu di antara elemen-elemen dalam pusat kecemerlangan yang menjadi tumpuan. Sebagai fasa pertama penubuhan Akademi Pertahanan, objektif Sekolah Pegawai Kadet ini adalah bagi melatih pegawai-pegawai kadet untuk menjadi pegawai ABDB yang boleh menyumbangkan keperluan dan kehendak unit-unit.
-- Hak milik Pelita Brunei
Sunday, 31 October 2010
Pegawai Kadet Mendukung Aspirasi Keamanan Dan Keselamatan Negara
Posted by Neo Minda on 13:45
0 comments:
Post a Comment