Sunday, 31 October 2010

Pemain Kita Cemerlang

Twitter Facebook More

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Bandar Seri Begawan (29/10/2010) - Brunei memahat sejarah manis di laman sendiri apabila merangkul beberapa gelaran dalam Kejohanan Golf Amatur Veteran ASEAN ke-27 yang berakhir hari ini.


Trio negara, Alfred Sim, Chris Tay dan Leftenan Kolonel (B) Haji Abd Aziz Kassim membolot kedudukan satu-dua-tiga dalam acara gross untuk menjulang Trofi Cabaran Sultan Sallehuddin.

Hajat peserta kita mendominasi bahagian net (Trofi Cabaran Mondonedo) tidak kesampaian namun Haji Bagol Momin memastikan nama Brunei tetap berada dalam kelompok terbaik apabila menduduki tempat ketiga.

Juara dan naib juaranya menjadi milik pemain Thailand, Samran Mafuang dan Mohd Adzman Musa dari Malaysia.

Namun begitu, kumpulan gross negara membuktikan kemampuan mereka apabila meninggalkan kuartet dari Malaysia dengan pukulan 706 untuk memastikan Trofi Cabaran Tun Henry H S Lee milik mereka.

Kumpulan gross negara dibarisi Alfred Sim, Chris Tay, Haji Abdul Aziz dan Leftenan Kolonel (B) Haji Brahim Jumahat, manakala Malaysia menampilkan Datuk A S Kamis, Haji Mahrome Mohamed, Alewi Ariffin dan Hamdan Zambahari.

Malaysia pula membawa pulang Trofi Cabaran Zakir selepas bergelar juara nett berkumpulan sementara Brunei terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Dalam masa yang sama malam ini, Peter Lee Kok Chiang boleh berbangga apabila diumumkan sebagai juara Stableford dengan meraih Trofi Cabaran Toh Sung.

Dalam Kumpulan A (55-59 Tahun), pemain negara Leftenan Kolonel (B) Haji Abas Bagol muncul pemenang, Kumpulan B (60-64) Al Barchan (Indonesia), Kumpulan C (65-69) Antoni Ong (Filipina), Kumpulan D (70-74) Reynold Ulob (Filipina) dan Kumpulan E (75 ke atas) dijuarai pemain Thailand, Praset Rojanapongpam.

Penyampaian hadiah kepada pemenang utama hari ini disempurnakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Dato Paduka Haji Hazair Haji Abdullah.

Turut menyampaikan hadiah ialah Pengerusi Persatuan Pemain Golf Veteran Brunei dan Presiden CASGA, Mejar Jeneral (B) pengiran Dato Haji Abidin.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment