Oleh Hasrulraizan
Kuala Lumpur (29/10/2010) - Persidangan dan Travel Mart (Pusat Jual Beli Perjalanan) Pelancongan Islam Antarabangsa (ITCM) 2010 dibuka rasmi hari ini di Dewan Tun Hussein Onn serta Ruang Legar Pusat Dagangan Dunia Putra oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim selaku wakil peribadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Baharom, dengan pukulan gong 3 kali.
Julung-julung kalinya diadakan, ITCM 2010 yang dianjurkan oleh Pusat Pelancongan Islam, Malaysia itu bertujuan untuk memperagakan dunia perdagangan pelancongan dan perjalanan Islam sambil berkongsi pengalaman dan berbincang mengenai isu-isu semasa, tatacara pelancongan serta sempadan baru industri pelancongan Islam sejagat.
ITCM 2010 yang menampilkan dua acara utama iaitu Persidangan Pelancongan Islam Antarabangsa 2010 dan Travel Mart Pelancongan Islam Antarabangsa 2010 itu turut dihadiri peserta antarabangsa termasuk Brunei Darussalam, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Brunei, Sheikh Jamaluddin Sheikh Mohamed akan turut membentangkan kertas kerja beliau esok, Jumaat, 29 Oktober.
Beliau bersama dua orang ahli panel lain akan bercakap berkisar tajuk "Negara-Negara Ahli OIC - Destinasi Baru bagi Perjalanan dan Pelancongan Islam: Bagaimana Memperguna Pasaran yang Semakin Meningkat" dalam Sesi 7 Persidangan itu.
Turut bersama beliau menghadiri ITCM 2010 itu ialah dua orang pegawai dari Pelancongan Brunei dan seorang pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan.
Bagi Travel Mart Pelancongan Islam Antarabangsa 2010, dua pegawai yang mewakili Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei adalah di kalangan "pembeli" dari luar Negara yang telah ditaja oleh Pelancongan Malaysia untuk menyertai Travel Mart berkenaan, selain pembeli dari Iran, China, India, Thailand, Singapura, Arab Saudi dan Afrika Selatan.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
Perasmian Persidangan Dan Travel Mart Pelancongan Islam A'bangsa
Posted by Neo Minda on 02:19
0 comments:
Post a Comment