Oleh Imelda Farrah Zohre HA
Bandar Seri Begawan (29/10/2010) - Setiap pegawai dan kakitangan harus menanam sikap ingin memperbaiki diri dan meningkatkan mutu kerja agar dapat bersama-sama menyumbang ke arah kecemerlangan Kementerian Kesihatan.
Timbalan Setiausaha Tetap, (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Kesihatan Hajah Siti Mariam Haji Mohd Jaafar ketika berucap di majlis itu berkata setiap pegawai dan kakitangan dalam semua peringkat tidak kira yang bertugas dalam bidang kesihatan, perubatan mahupun perkhidmatan bantu mestilah sentiasa mendukung visi kementerian "Bersama Ke Arah Warga Sihat".
"Bagi mencapai hasrat ini, usaha-usaha ke arah pembaikan perkhidmatan harus sentiasa dilaksanakan yang mana ia akan memperbaiki imej perkhidmatan kesihatan dan perubatan dan jua Kementerian Kesihatan sendiri", jelasnya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Penubuhan Kumpulan Berprestasi Tinggi, hari ini.
Beliau menyeru Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Jabatan Pentadbiran supaya dapat mengambil langkah proaktif dalam melatih tenaga mahir dan separuh mahir yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan.
"Saya ucapkan setinggi tahniah dan syabas di atas kolaborasi strategik di antara Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Jabatan Pentadbiran dengan Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah berusaha dengan gigih untuk menganjurkan serta menjayakan bengkel ini", tambahnya.
Beliau berharap aspek kerja berpasukan yang diadakan pada bengkel itu akan dapat mengajar peserta erti perpaduan dan kerja berpasukan yang perlu ditanamkan dalam setiap warga Kementerian Kesihatan kerana kesemua perkhidmatan yang ada di Kementerian Kesihatan kerana kesemua perkhidmatan yang ada di kementerian berkenaan berkait rapat dan sangat memerlukan sokongan dan dorongan antara satu dengan yang lain.
Segala maklumat dan panduan yang diberikan di sepanjang bengkel itu diharapkan akan dapat memudahkan peserta mengenal pasti ekspektasi kementerian itu semasa menerajui tanggungjawab sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan amnya dan pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan Khasnya, katanya.
Seramai 28 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dalam Bahagian III mengikuti Bengkel Penubuhan Pasukan Berprestasi Tinggi yang diadakan enam hari itu menerima sijil mereka yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Kesihatan.
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Puan Sarawathu Rajagopal selaku fasilitator jemputan yang berkhidmat di Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
Tanam Sikap Ingin Memperbaiki Diri, Tingkat Mutu Kerja
Posted by Neo Minda on 01:51
0 comments:
Post a Comment