Oleh : Haniza Abdul Latif
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Seramai 14 peserta akan menyertai Pertandingan Kemahiran ASEAN Ke-8 di Bangkok pada 14 hingga 24 November 2010.
Mereka akan diiringi oleh dua pegawai dari Jabatan Pendidikan Teknik, 15 pengawas serta guru diketuai oleh Pemangku Penolong Pendidikan Teknik, Awang Haji Abdullah bin Ahmad selaku ketua delegasi.
Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada delegasi negara diadakan petang tadi di Bilik Persidangan 1, Jabatan Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyerahkan bendera NBD kepada ketua delegasi ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Daud bin Haji Mahmud.
Salah seorang peserta, Dayang Nor Liyana binti Haji Jailani yang sempat ditemu bual wakil PELITA BRUNEI menyatakan, beliau telah membuat persediaan dari bulan Februari tahun ini dan akan menjalani latihan intensif seminggu sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.
Dayang Nor Liyana yang pada masa ini mengambil kursus Diploma Kebangsaan Dalam Pengajian Komputer dan merupakan pelajar tahun akhir Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal akan menyertai dalam Bahagian Rekabentuk Laman Web (Web Design).
Seorang lagi peserta yang akan menyertai dalam Bahagian Teknologi Automobil ialah pelajar tahun satu Pusat Latihan Mekanik, Awang Muhammad Zulfahri bin Rosli semasa ditemu bual pula menjelaskan, beliau telah membuat persediaan dari bulan Ogos tahun ini.
Awang Muhammad Zulfahri yang mendapat tempat ke-2 dalam Pertandingan Kemahiran Nasional pada awal tahun ini berhasrat untuk mendapat pingat emas pada pertandingan tersebut nanti.
Objektif Pertandingan Kemahiran ASEAN ialah untuk mempromosi perkembangan kualiti kerja bahagian vokasional dan teknikal antara para belia dan pekerja yang berkemahiran selain untuk mengeratkan kerjasama teknikal dalam bidang pendidikan vokasional dan teknikal serta latihan di kalangan negara-negara anggota.
Selain itu, ia juga untuk menggalakkan kerjasama di antara institusi pendidikan teknik dan vokasional, majikan dan persatuan pekerja bagi mengiktiraf kecemerlangan kerja dan membina kemahiran tinggi para pekerja di kalangan generasi baru.
Sebanyak sepuluh buah negara ASEAN termasuk NBD, Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Viet Nam akan menyertai pertandingan tersebut.
Pertandingan kali ke-8 yang akan berlangsung di Challanger Hall 1 and 2, IMPACT Exhibition and Convention Centre Bangkok itu akan mempertandingkan 21 kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
14 Peserta Akan Menyertai Pertandingan Kemahiran ASEAN Di Bangkok
Posted by Neo Minda on 18:57
0 comments:
Post a Comment