Oleh : Aimi Sani
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Dalam usaha untuk memelihara terumbu karang dari terhapus, Jabatan Perikanan dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan mengendalikan latihan bagi pemeriksa penyelam terumbu karang selama empat hari bermula pada 2 November lepas.
Latihan melibatkan 15 peserta dari Jabatan Perikanan dan sektor swasta itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Terumbu Karang yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Dr. Gregor Hodgson.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan dan Sumber Utama), Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Dayang Hajah Normah Suria Hayati PJDSMDSU (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, di Hotel Orchid Garden, di sini.
Juga hadir di majlis tersebut Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), KPSSU, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Yunus, Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Hasnah binti Ibrahim serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan.
Terdahulu Ketua Bahagian Perkembangan dan Pengurusan Perikanan Marin, Dayang Ranimah binti Haji Abdul Wahab dalam taklimatnya menyatakan bahawa perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta memainkan peranan penting dalam memelihara dan mengelola kepelbagaian bio marin di perairan Brunei.
Menurut Dayang Ranimah, objektif bengkel latihan tersebut antara lain untuk mendidik masyarakat mengenai nilai ekosistem terumbu karang di samping mengenal pasti krisis-krisis masa kini yang boleh mempengaruhi kehidupan marin seterusnya mengesa orang ramai untuk memelihara terumbu karang yang sedia ada dan yang sudah tercemar di seluruh dunia.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Memelihara Terumbu Karang Dari Terhapus
Posted by Neo Minda on 18:56
0 comments:
Post a Comment