Monday, 1 November 2010

23 Saudara Baru Menamatkan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim

Bandar Seri Begawan (31/10/2010) - Seramai 23 orang saudara baru menerima sijil masing-masing setelah menamatkan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan (II) Saudara-saudara Baru Siri Ke-14 (Perempuan) tahun 1431H/2010M.


Penyampaian sijil disempurnakan oleh Ketua Bahagian Kursus dan Bimbingan Wanita Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Dayang Hajah Fatimah binti Haji Ahmad berlangsung di bangunan PDI, di sini.

Berucap di majlis itu, Ketua Bahagian Pengislaman dan Pemeliharaan Muallaf PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar menjelaskan akan wujudnya perpaduan dan kesepaduan serta hubungan muhibah yang rapat di kalangan para peserta dari pelbagai bangsa dan suasana kehidupan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu matlamat PDI untuk menyatupadukan saudara-saudara baru dan memberikan impak atau penambahan ilmu kepada mereka agar dapat menghayati Islam dan menjadi muslimah sejati.

Beliau juga berharap agar ilmu yang diajarkan akan dapat diamalkan sepenuhnya setelah kursus berakhir kerana mereka bukan saja sebagai saudara baru malah sebahagiannya merupakan ibu dan pemimpin di rumah, dalam keluarga dan masyarakatnya.

Oleh itu beliau menyarankan supaya para peserta kursus dapat menterjemahkan Islam itu ke dalam hidup seharian masing-masing.

Skim Bimbingan Lanjutan tersebut dikendalikan oleh Bahagian Pengislaman dan Bimbingan Saudara-saudara Baru PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kursus 14 hari itu bertujuan untuk menambah ilmu dan memantapkan lagi amalan praktikal khususnya dalam beribadah bagi saudara-saudara baru di negara ini.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment