Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Seramai 28 peserta yang menamatkan Kursus Berkayak Tingkat 1 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS)menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Penyampaian sijil disempurnakan oleh wakil peribadi Pengarah Belia dan Sukan, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.
Kursus tersebut diadakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, Kompleks Sukan Air Serasa dan Pulau Pelumpong Muara manakala fasa kedua di Sungai Batang Duri Temburong.
Kursus dikendalikan oleh tiga jurulatih iaitu Awang Haji Ramli bin Haji Kurus dari JBS, Awang Zulkarnain bin Hussin dari Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) dan Awang Haji Raya bin Haji Ismail dari Persatuan C.A.R.E.
Semasa kursus itu para peserta mengikuti aktiviti cinta tanah air, aktiviti kerohanian, aktiviti teori, aktiviti praktikal, latihan kepimpinan, kerja berkumpulan, ekspedisi dan perkhemahan serta penilaian kursus.
Kursus tersebut bertujuan menerapkan teknik dan kaedah pengajaran terkini dalam aspek-aspek kejurulatihan di dalam memperkasakan keterampilan pekerja belia dan ahli-ahli persatuan selain memantapkan individu yang berkebolehan dalam aktiviti berkayak.
Di samping itu ia juga untuk membantu jurulatih kayak yang sedia ada selain mempertingkatkan interaksi secara formal dan tidak formal serta semangat bekerjasama di kalangan pekerja belia dan ahli persatuan yang mempunyai minat yang sama.
Ia juga diharapkan dapat melahirkan seorang jurulatih yang berwibawa untuk memimpin belia-belia dalam pengunaan peralatan kayak.
Sejajar semakin meningkatnya aktiviti berkayak, kursus tersebut akan dapat membantu tenaga jurulatih yang ada dalam mengendalikan aktiviti berkayak dengan lebih sempurna dan selamat.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
28 Peserta Menerima Sijil Kursus Berkayak
Posted by Neo Minda on 18:55
0 comments:
Post a Comment