Oleh : Khartini Hamir
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Persatuan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sesi 2010/2011 yang baru dilantik diseru supaya bertanggungjawab dalam memastikan imej, nama baik dan prestasi KUPU SB sentiasa terpelihara dan disanjung tinggi.
Ra'es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim membuat seruan itu semasa berucap di Majlis Pembubaran dan Pelantikan Persatuan tersebut, di Dewan Besar KUPU SB, di ibu negara, petang tadi.
Menurut Dr. Hajah Masnon, Majlis Perwakilan Mahasiswa yang merupakan Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Mahasiswa adalah lembaga pengurus atau badan eksekutif yang berperanan dalam mentadbir dan memimpin persatuan mahasiswa di KUPU SB.
Semasa berucap beliau juga menyarankan supaya para mahasiswa/mahasiswi menggunakan peluang yang ada untuk mendedahkan, melonjakkan prestasi diri dan menyumbang ke arah kecemerlangan persatuan khususnya dan KUPU SB umumnya.
Mereka katanya juga perlu benar-benar tahu dan faham mengenai asas penubuhan, fungsi dan peranan masing-masing dalam mencapai matlamat persatuan.
Selain itu Ra'es KUPU SB juga menyeru mereka yang terpilih untuk memiliki sifat-sifat kendiri, berjiwa besar, bijak, berhemah, cekap, dedikasi, berdisiplin, qudwah hasanah, inovatif, berdaya saing, berfikiran positif untuk memajukan persatuan dan sama-sama mencapai visi dan misi KUPU SB mengikut perancangan yang strategik dan bersistematik dalam menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi kebanggaan negara yang bertaraf antarabangsa.
Antara objektif pentauliahan ini adalah untuk memberikan peluang kepada mahasiswa yang lain untuk bergiat di dalam persatuan.
Ia juga merupakan proses pembinaan sahsiah keterampilan pemimpin, bertanggungjawab serta bersikap pemedulian dan bekerjasama secara berpasukan di kalangan pelajar.
Di samping itu, ia juga merupakan salah satu mekanisme pendidikan perguruan ugama dalam pembinaan sahsiah keimanan dan beramal soleh.
Majlis juga menyaksikan timbang terima tugas di antara Yang Dipertua Persatuan Pelajar Sesi 2009/2010, Awang Md. Shahrol Azmi bin Haji Abd. Mulok dengan bekas Yang Dipertua Sesi 2010/2011, Awang Haji Mohd. Rudy bin Haji Samsuddin.
Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang baru dilantik juga melafazkan ikrar di majlis tersebut.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Pelihara Imej, Nama Baik Dan Prestasi KUPU SB
Posted by Neo Minda on 18:56
0 comments:
Post a Comment