Oleh : Aryentty Hj. Ariffin
Tutong (06 November 2010) - Perlawanan Kemahiran Menembak (AFSAM) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi tahun 2010 telah dilancarkan pagi ini dengan Upacara Pembukaan Rasmi oleh Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kolonel (L) Haji Abd. Halim bin Mohd. Hanafiah di Kompleks Padang Tembak Binturan.
Sebelum upacara pembukaan rasmi dimulakan, tetamu kehormat diperkenalkan kepada ketua-ketua peserta, diikuti dengan Upacara Menaikkan Bendera Unit dan seterusnya perlawanan VIP Novelty Rifle Falling Plate diadakan dan diselajurkan dengan penyampaian hadiah.
AFSAM merupakan platform untuk mengenal pasti penembak-penembak yang berpotensi bagi menyediakan pasukan ABDB ke Perlawanan Brunei International Skill At Arms Meet (BISAM) dan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM).
Pertandingan kemahiran menembak AFSAM seperti lazimnya akan menjadi gelanggang pertemuan anggota-anggota dari unit-unit utama ABDB bertemu menguji kemahiran masing-masing di pertandingan tersebut.
Pertandingan yang juga akan disertai oleh askar wanita ini merupakan langkah yang positif dalam memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita bahawa mereka juga mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki di dalam sama-sama menanai tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Kepentingan pertandingan ini akan menjadi medan bagi mengukur dan menganalisa latihan yang dipraktikkan selama ini.
AFSAM 2010 pada kali ini juga disertai oleh pasukan dari Polis Diraja Brunei, Jabatan Penjara, Singapore Armed Forces (LANCER) dan Unit 2nd Royal Gurkha Rifle.
Penyertaan agensi-agensi kerajaan beruniform ini merupakan satu testimoni di mana tugas-tugas keamanan negara dapat ditanai dan dilaksanakan dengan adanya kesepaduan ABDB dan agensi-agensi ini dalam meningkatkan kewujudan diplomasi pertahanan di antara pasukan-pasukan negara sahabat.
Perlawanan yang bermula pada 1 November 2010 akan dijalankan selama 10 hari yang berakhir pada 10 November ini yang mempertandingkan perlawanan-perlawanan rifle, machine gun dan pistol.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
ABDB, Polis, Penjara, Angkatan Tentera Singapura Dan 2nd Royal Gurkha Rifle Sertai AFSAM 2010
Posted by Neo Minda on 17:03
0 comments:
Post a Comment