Sunday, 14 November 2010

SEACEN Progresif Rancang Program Semasa

Twitter Facebook More

Oleh : Nooratini Hj. Abas & Saerah Hj. Abd. Ghani

Bandar Seri Begawan (06 November 2010) - Pusat Penyelidikan dan Latihan Asia Tenggara (SEACEN) semakin progresif merancang program-program selaras dengan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada bank-bank pusat dan pengawal selia kewangan dan seumpamanya di rantau ini.


Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Awang Haji Mohd. Rosli bin Haji Sabtu menyatakan demikian semasa berucap menutup Bengkel SEACEN-IRTI/IDB Mengenai Pembangunan Sistem Perbankan Islam Yang Berdaya Tahan: Pengurusan Kecairan berlangsung di Red Jade, Hotel Centrepoint, Gadong.

Menurut Awang Haji Mohd. Rosli, pihaknya akan memberikan sokongan penuh serta kerjasama dalam menganjurkan lebih banyak program-program latihan yang membuahkan hasil di masa hadapan.

Walaupun bengkel itu diadakan hanya selama lima hari, Awang Haji Mohd. Rosli berharap para peserta dari bank pusat dan pihak berkuasa kewangan telah mendapat manfaat melalui penyertaan selain pertukaran idea dengan rakan-rakan peserta yang lain.

"Saya percaya bahawa sepanjang kursus dijalankan, awda telah mengenali antara satu sama lain dan saya berharap ikatan serantau ini akan berterusan dan hubungan profesional antara rantau akan terus dikekalkan," ujar Awang Haji Mohd. Rosli.

Seramai 36 peserta mewakili 17 institusi dari 14 buah negara terdiri dari negara-negara ahli SEACEN termasuk wakil-wakil Kementerian Kewangan Negara Afghanistan, Kementerian Kewangan Negara Brunei Darussalam, negara Albania, Bank Nasional Kemboja, Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia, Bank Korea, Bank Bangladesh, Bangko Sentral Ng Pilipinas, Bank Pusat Iran, Bank Pusat Sri Lanka, Kementerian Kewangan Maldives, Bank Negara Pakistan dan Agensi Pengawalseliaan Perbankan Turkey.

Selain itu, kewangan syariah juga menyediakan peluang-peluang yang menghubungkan sistem kewangan secara lebih luas serta memberikan peruntukan dana kewangan lebih efisien merentasi sempadan.

Di samping itu, kewangan syariah sebagai sebahagian penting sistem kewangan antarabangsa mempunyai potensi untuk menyumbang terhadap kestabilan kewangan global dan untuk meningkatkan prospek pertumbuhan global.

Objektif utama bengkel tersebut adalah untuk membolehkan para peserta mengenal pasti dan menilai komponen-komponen pengawalseliaan yang kritikal bagi membangun sistem perbankan Islam yang berdaya tahan mengikut prinsip-prinsip syariah.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment