Monday, 1 November 2010

Amalkan Gaya Hidup Yang Sihat Elak Penyakit Jantung

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim

Jerudong (01/11/2010) - Orang ramai diseru supaya memberikan lebih perhatian terhadap jantung mereka serta sering membuat pemeriksaan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan mengekalkan pemakanan seimbang dan bersenam secara konsisten.


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan membuat seruan itu ketika merasmikan Persidangan 2nd International Cardiology Nursing and Allied Healthcare Profesional, berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.

Yang Berhormat menjelaskan, kos penjagaan klinikal semasa dan selepas serangan jantung yang teruk meningkat dengan cepat manakala jumlah pesakit yang menghidap kegagalan jantung selepas serangan jantung juga bertambah dalam dua dekad.

Oleh itu jelas Yang Berhormat, adalah penting untuk mengalihkan peningkatan 'trend' dalam kos penjagaan kesihatan kepada yang lebih berdaya tahan dalam jangka panjang.

"Kita mesti mengukuhkan strategi-strategi pencegahan kita. Kita harus membuat pemeriksaan bagi penyakit jantung sub-klinikal dan mencegah peralihannya kepada yang lebih berbahaya dan kos klinikal yang mahal dan peringkat-peringkat merupakan gejala," ujar Yang Berhormat.

Antara stretegi yang berkesan katanya, termasuk pendidikan kesihatan awam dan kesedaran, pencegahan dan disiplin diri untuk mengamalkan gaya hidup sihat kekal menjadi satu keutamaan yang tinggi.

Yang Berhormat berkata, penyakit kardiovaskular adalah satu-satunya penyebab terbesar kematian seperti yang diterbitkan dalam statistik-statistik kesihatan global.

Di Negara Brunei Darussalam juga, katanya penyakit kardiovaskular merupakan masalah utama perubatan di mana di kalangan semua penyakit jantung, penyakit arteri koronari yang membawa kepada serangan jantung adalah yang paling biasa.

"Tahun lepas, penyakit jantung merupakan 15.8 peratus daripada jumlah kematian di Brunei Darussalam, menjadikannya penyebab utama kedua bagi kematian selepas kanser," jelas Yang Berhormat.

Menyentuh mengenai isu kualiti, Yang Berhormat menjelaskan, pihak Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan institusi-institusi penjagaan kesihatan tempatan, baik dalam sektor awam dan swasta untuk menumpukan pada mewujudkan program-program peningkatan kualiti yang akhirnya akan membawa perkhidmatan yang lebih baik untuk para pesakit.

Ini katanya termasuklah dengan mengadakan persidangan-persidangan dan bengkel-bengkel di mana melalui sesi seumpamanya para peserta akan dapat meningkatkan pengetahuan dan profesionalisme mereka.

Selain itu ujarnya, para peserta juga akan dapat mengadaptasikan pengetahuan yang baru mereka perolehi yang akan memberikan nilai tambah ke atas kualiti perkhidmatan dalam kerja seharian mereka.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment