Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim
Jerudong (01/11/2010) - Penyakit jantung merupakan salah satu masalah perubatan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.
Sehubungan itu satu persidangan mengenainya diadakan untuk membincangkan perkembangan semasa dan pengurusan praktikal bagi penyakit tersebut.
Persidangan 2nd International Cardiology Nursing and Allied Healthcare Profesional, itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan, di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.
Dalam ucaptama bertajuk 'Cardiovascular Intervention: Gleneagles leading the way in treatment', Dr. Patrick Ang dari Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) berkata, angioplasti koronari kini merupakan kaedah paling biasa dalam penyakit arteri koronari iaitu membuka arteri jantung dengan memasukkan sejenis tiub.
Ketika ini katanya terdapat 80 peratus dari para pesakit sesuai bagi angioplasti dan 20 peratus pesakit lagi perlu melakukan pembedahan pintas.
Persidangan bertemakan 'Uniting to Improve Cardiac Practices' itu dihadiri oleh lebih 200 pakar, jururawat, penuntut dan para profesional lain yang berkaitan dengan penyakit jantung.
Selain itu persidangan yang dikendalikan oleh Gleneagles JPMC itu juga mengundang beberapa penceramah dari dalam dan luar negara yang membentangkan tajuk-tajuk berkaitan dengan kardiologi.
Melalui persidangan seumpamanya para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan tentang pengurangan risiko kardiovaskular serta lebih memahami akan pentingnya rawatan dan kawalan di kalangan para pesakit jantung.
Di samping itu mereka juga akan dapat mengemas kini prosedur-prosedur jantung antarabangsa serta berpeluang berkongsi dan bertukar-tukar idea dengan pakar-pakar dalam bidang tersebut.
-- hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Penyakit Jantung Masalah Perubatan Dihadapi Kebanyakan Negara
Posted by Neo Minda on 13:35
0 comments:
Post a Comment