Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) hari ini berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Ke-16, Guangzhou 2010, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.
Di majlis yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di sini, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya berkenan menyampaikan pakaian sukan sumbangan Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tajaan 361 Degrees (China) Co.Ltd kepada atlet kontinjen negara.
DYTM semasa mengurniakan sabda antara lain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat 361 Degrees dari Guangzhou, Republik Rakyat China kerana sudi bekerjasama dengan BDNOC dan seterusnya menaja pakaian sukan bagi kontinjen negara ke Sukan Asia Ke-16 itu nanti.
Terdahulu dari itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair dalam sembah alu-aluannya menyeru atlet-atlet yang terpilih mewakili negara supaya menunjukkan prestasi yang terbaik dengan azam dan semangat yang tinggi untuk memberikan saingan kepada atlet-atlet yang lain dari benua Asia nanti.
Para atlet juga digesa supaya menggunakan kemahiran serta pengalaman daripada latihan-latihan yang telah dijalankan sepanjang persediaan sama ada dalam dan luar negara serta tunjuk ajar daripada jurulatih untuk lebih fokus serta memberikan tumpuan konsentrasi semasa perlawanan bagi memperolehi kejayaan dan kemenangan.
Dengan pendedahan-pendedahan yang diikuti oleh para atlet negara di luar negara, Yang Berhormat percaya mereka kini telah pun bersedia sama ada dari segi mental dan fizikal.
Di samping mempunyai disiplin yang baik, yang Berhormat Pehin juga mengulangi tuntutan setiap atlet untuk memberikan komitmen yang tinggi untuk terus berusaha dan lebih bersemangat bagi mencapai kejayaan demi negara.
Dalam pada itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan juga berpesan kepada kontinjen negara untuk menjaga nama baik dan imej Negara Brunei Darussalam semasa berada di Guangzhou nanti selain mengutamakan penjagaan kesihatan dan sentiasa mendapatkan nasihat doktor sebelum memakan dan mengambil ubat bagi memastikan ianya tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang.
"Tanamkanlah semangat 'Brunei Yakin' di dalam diri ketika bertanding," pesan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan seterusnya.
Sukan Asia bagi siri ke-16 ini dijangka akan berlangsung pada 12 hingga 27 November depan di Guangzhou, Republik Rakyat China.
Penyertaan negara ke temasya yang diadakan setiap empat tahun sekali ini merupakan kali ke-6 sejak kali pertama ianya dianjurkan pada tahun 1990 yang juga diadakan Republik Rakyat China.
Pada temasya kali ini kontinjen negara akan menyertai sebanyak lima acara sukan iaitu Sukan Kiu, Lawan Pedang, Karate-do, Wushu dan Equestrian dengan melibatkan seramai sembilan atlet dan 12 pegawai termasuk jurulatih dan pegawai perubatan.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Atlet Brunei Sertai Lima Acara Di Sukan Asia, Guangzhou
Posted by Neo Minda on 19:00
0 comments:
Post a Comment