Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Bandar Seri Begawan (07 November 2010) - Haji Awang Ahmad Morsidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, pemilik, Pengarah Urusan dan Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat Ideal memenangi Anugerah Peladang, Petani dan Penternak Berjaya pada tahun ini.
Sementara itu, Anugerah Peladang, Petani dan Penternak Berdaya Maju dimenangi oleh Awang Haji Zainal bin Haji Safar, pemilik dan Pengurus Syarikat Haji Zainal bin Haji Safar dan Keluarga manakala pemenang bagi Anugerah Peladang, Petani dan Penternak Inovatif ialah Liew Kim Chong, pemilik dan Pengurus Syarikat Fui Cheong Farm.
Anugerah Penternak dan Nelayan Berjaya pula dimenangi oleh Chan Jeng Sun, sementara Kategori Penternak dan Nelayan Berdaya Maju dimenangi oleh pemilik Syarikat S. Kota Sdn Bhd, Awang Haji Othman bin Haji Sunggoh manakala pemilik dan Pengurus Syarikat HT Enterprise, Awang Haji Mahadi bin Haji Talip memenangi anugerah Penternak dan Nelayan Inovatif.
Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar pada Majlis Makan Malam Penghargaan Sempena Pelancaran Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan bertemakan 'Makanan Terjana, Negara Selamat' berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Juga hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Dato Paduka Dr. Haji Mohd. Amin Liew, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai dan kakitangan KPSSU serta para peladang, petani, penternak dan nelayan dari seluruh negara.
Penganugerahan tersebut dihasratkan dapat memberikan pengiktirafan ke atas usaha peladang, petani, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian di negara ini untuk lebih berkembangmaju selain memberikan insentif yang bersesuaian kepada mereka.
Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan telah diisytiharkan pada setiap 1 November oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
-- hak milik Pelita Brunei
Sunday, 14 November 2010
Kejayaan Peladang, Petani, Penternak Dan Nelayan Diberikan Anugerah
Posted by Neo Minda on 18:59
0 comments:
Post a Comment