Wednesday, 17 November 2010

Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Sempena Sambutan Jubli Perak PDI

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (11 November 2010) - Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Jubli Perak Ke-25 Tahun Penubuhan Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Bahagian Kajian dan Penerbitan melalui Unit Penerbitan, Pembahagian dan Pemasaran mengadakan dua Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi iaitu Bengkel Tahsinul Khat dan Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan.


Bengkel Tahsinul Khat berlangsung di Bilik VIP, PDI selama sembilan hari bermula dari 1 hingga 11 November 2010 manakala Bengkel Peringkat Lanjutan diadakan selama sepuluh hari bermula dari 1 hingga 13 November 2010.

Sementara itu, satu Peraduan Penulisan Seni Khat Jawi Kebangsaan juga dibukakan dan penghakimannya diadakan di Bilik Kuliah Utama PDI pada 5 November 2010.

Program tersebut bertujuan untuk memelihara kesinambungan tulisan Jawi (Aksara Arab-Melayu) yang merupakan warisan tamadun Islam selain mempromosikan serta meluaskan lagi pengetahuan seni khat Jawi kepada orang ramai di negara ini.

Objektif utama bengkel tersebut ialah meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran peserta dalam penulisan seni khat Jawi serta menyebarluaskan kemahiran dalam seni penulisan tersebut.

Antara lain bengkel juga bertujuan mencungkil dan mencari para penulis yang berbakat melalui peraduan-peraduan yang diadakan di penghujung bagi menggalakkan penulis-penulis khat tempatan untuk menyertai secara aktif program Peraduan Menulis Khat sama ada peringkat kebangsaan ataupun luar negeri.

Di samping itu, memberikan kemahiran dan penumpuan kepada penduduk-penduduk tempatan supaya dapat mengaplikasikan khat sebagai produk perniagaan.

Hakim-hakim yang dilantik bagi menghakimi Peraduan Menulis Seni Khat Jawi Kebangsaan adalah Awang Haji Sabtu bin Surat dari Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi Hakim, Abdul Baki bin Abu Bakar dari Malaysia dan Farid Abdul Rahim Al-Ali dari Kuwait. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani)

0 comments:

Post a Comment