Wednesday, 17 November 2010

Lawatan Ke Perpustakaan Memupuk Minat Membaca

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (11 November 2010) - Ke arah menarik minat murid-murid pelajar untuk mengamalkan budaya membaca dan mencintai buku dari peringkat awal, Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Sungai Besar hari ini mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ke Perpustakaan Lambak Kanan.


Rombongan yang diketuai oleh Dayang Sofiah binti Haji Md. Taib membawa bersama seramai 34 murid dan beberapa orang guru yang disambut oleh Ketua Bahagian Perpustakaan, Dayang Hajah Nispah binti Haji Salleh.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Dayang Hajah Nispah yang antara lain menerangkan sejarah ringkas penubuhan perpustakaan Kampung Lambak dan cara kemasukan ahli secara percuma di perpustakaan mengikut tahap umur yang bersesuaian.

Antara bahagian yang dikunjungi termasuklah Perpustakaan Dewasa, Perpustakaan Muda Mudi, Bilik Rujukan, Sudut Siber, Pameran dan Perpustakaan Kanak-kanak.

Perpustakaan tersebut dibuka rasmi pada 14 Februari 2008 yang dilengkapi dengan 19,822 buah buku hingga ke tahun ini dan ianya dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Selain itu, perpustakaan tersebut juga dilengkapi dengan berbagai kemudahan, kaunter peminjaman, bilik perbincangan, bilik latihan dan surau.

Sebelum mengakhiri lawatan, rombongan juga berkesempatan mengikuti sesi kuiz dan seterusnya penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang.

Lawatan tersebut bertujuan bagi meluaskan lagi ilmu pengetahuan seseorang murid melalui variasi bahan bacaan di samping mendorong mereka untuk terus membaca. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani)

0 comments:

Post a Comment