Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, berkata Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pelbagai kementerian dan jabatan akan melaksanakan projek-projek baru untuk meningkatkan kualiti hidup di Brunei.
Berucap di Majlis Penandatanganan dan Pengagihan Dokumen-dokumen Kontrak di Dewan Bertabur, Bangunan Kementerian Pembangunan, Yang Berhormat menyatakan salah satu langkah untuk melaksanakan projek-projek baru tersebut adalah dengan mempertingkatkan dan membaiki infrakstruktur negara.
Yang Berhormat menjelaskan, negara kita ketika ini mempunyai kemudahan perkhidmatan dan sistem pembetungan antara yang terbaik di rantau ini dan lebih 44 peratus penduduk negara ini mendapat akses kepada sistem rawatan kumbahan berpusat yang disalurkan melalui rangkaian paip pembetungan sepanjang 750 kilometer dan 90 peratus penduduk negara ini mempunyai sistem 'septic tank' dan 'public sewerage treatment'.
Seterusnya Yang Berhormat menyaksikan Majlis Penandatanganan dan Pengagihan Dokumen-dokumen Kontrak tersebut yang ditandatangani Awang Haji Safawi bin Haji Bolhassan, bagi Kontrak-Kontrak Kumbahan Gadong bagi Petar Perunding Sendirian Berhad perundingnya berjumlah BND9,928,000 manakala bagi Kumbahan Seria perunding dari Regional Consultants ialah Awang Haji Ismail bin Haji Jaafar berjumlah BND8,288,888.88, Kedua-dua penandatanganan ini telah ditandatangani oleh pemborongnya Awang Mohd. Zulfakhri bin Mohd. Sofian daripada Surati Construction Sendirian Berhad.
Majlis juga diselajurkan dengan pengagihan dokumen-dokumen kontrak yang telah ditandatangani kepada pemborong-pemborong terpilih yang disampaikan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi kepada CHUON-TZU Construction berjumlah BND65,888,88 dengan tajuk projek Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lugu.
Seterusnya kepada Syarikat Norliha Haji Tengah dan Anak-anak berjumlah BND8,297,700 dengan tajuk projek 'Supply and Delivery Aluminium Sulphate'.
Manakala pengagihan yang terpilih juga disampaikan kepada Kehasan Sendirian Berhad berjumlah BND7.3 juta dan BND7 juta dengan tajuk projek 'Menaikkan Taraf Persimpangan-persimpangan Jalan Kecil' dan kepada T&B Glory Construction Cooperation Sendirian Berhad berjumlah BND3,952,702.70 dengan tajuk projek 'Bangunan Baru Jabatan Saliran dan Pembetungan' oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Turut hadir di Majlis Menandatangani Kontrak ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Bahagian Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Mohamad Zin bin Haji Salleh, Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Suhaimi bin Haji Ghafar, pengarah-pengarah, perunding-perunding, pemborong-pemborong dan kakitangan di bawah kementerian berkenaan.
Kemudahan infrakstruktur pembetungan telah pun dianggap sebagai salah satu tanda aras kemajuan sesebuah negara, di samping itu memastikan alam sekitar dan sumber air terpelihara dan keperluan infrastruktur pembetungan yang memenuhi piawaan antarabangsa adalah merupakan salah satu syarat utama untuk sesebuah negara menjadi salah satu destinasi pelancongan dunia. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Nooratini Hj. Abas)
Tuesday, 16 November 2010
Brunei Darussalam Punyai Kemudahan Perkhidmatan Dan Sistem Pembetungan Terbaik
Posted by Neo Minda on 20:35
0 comments:
Post a Comment