Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani
Bandar Seri Begawan (04 November 2010) - Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus mengeratkan kerjasama dalam mengesan dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah merentas sempadan bersama.
Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN) selaku Ketua Delegasi, Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Abdul Aziz bin OKMB Haji Othman menegaskan, kerjasama hendaklah berterusan dari semasa ke semasa kerana ia merupakan pemangkin utama dalam misi pembenterasan penyeludupan dan pengedaran dadah di antara kedua buah negara.
Beliau menegaskan perkara itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Dua Hala Ke-15 di antara BKN, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia, pagi tadi di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Hadir pada mesyuarat itu, Ketua Delegasi JSJN, DCP Dato' Othman bin Harun yang juga selaku tetamu kehormat, 14 pegawai dari BKN Negara Brunei Darussalam dan enam pegawai dari JSJN, PDRM.
Awang Haji Abdul Aziz dalam ucapannya juga menjelaskan, pelbagai bidang kerjasama telah dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak termasuk bantuan kursus dan latihan kepada pegawai-pegawai BKN, pelaksanaan ekstradasi ke atas tangkapan, perkongsian dan pertukaran maklumat dadah terkini, penerimaan lawatan pegawai-pegawai BKN ke beberapa buah stesen JSJN di Sabah dan Sarawak serta berbagai lagi bantuan yang di terima yang tidak direkodkan.
BKN katanya, masih perlu terus belajar dan menimba pengalaman, kemahiran dan amalan-amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh pihak JSJN sebagai panduan bertindak untuk berhadapan dengan kes-kes seumpama ini.
Kerjasama itu ujarnya juga mencerminkan keperhatian dan pemedulian pihak JSJN dalam membantu BKN menghadapi dan menangani masalah dadah pada masa ini.
Pada mesyuarat itu, para delegasi juga membincangkan pelan tindakan masa hadapan yang lebih terarah dan efektif agar kerjasama dua hala dalam usaha memerangi gejala penyeludupan dan pengedaran dadah yang membabitkan kedua-dua negara akan tetap relevan dan penting.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Brunei - Malaysia Eratkan Kerjasama Mengekang Penyeludupan Dan Pengedaran Dadah
Posted by Neo Minda on 14:15
0 comments:
Post a Comment