Friday, 12 November 2010

Kompleks Kolej Kediaman UBD Bernilai BND28 Juta Siap Dibina

Twitter Facebook More

Oleh : Aimi Sani

Tungku Link (04 November 2010) - Kompleks Kolej Kediaman Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menelan belanja lebih kurang BND28 juta dan dilengkapi berbagai kemudahan telah siap dibina untuk digunakan.


Kompleks yang dibina pada awal tahun 2008 dan menyediakan 440 buah bilik bagi mahasiswa dan mahasiswi UBD itu menambahkan lagi kapasiti bilik yang sedia ada kepada 1,110 buah.

Penambahan kompleks baru itu juga meningkatkan lagi kemudahan kampus selain menyediakan persekitaran selesa serta selamat.

Ia juga menaikkan lagi imej UBD sebagai sebuah institut pengajian tinggi pilihan pertama yang bertaraf dunia.

Majlis Penyerahan Replika Kunci Kompleks tersebut berlangsung pagi tadi di Lobi Bangunan Utama, Kolej Kediaman UBD.

Replika kunci diserahkan oleh Wong Sie Sin wakil WSS Sdn Bhd kepada Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Suhaimi bin Haji Abd. Gafar yang seterusnya menyerahkan kepada Naib Canselor UBD, Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Juga hadir di majlis penyerahan tersebut pegawai-pegawai dan kakitangan UBD.

Menurut Pemangku Ketua Estet, Chua Peng Hong, Kompleks Kolej Kediaman baru yang mempunyai empat bangunan 'tower' enam tingkat masing-masing dua bangunan untuk para siswa dan dua lagi untuk para siswi itu menyediakan kafeteria, kedai dan dewan kuliah yang boleh digunakan untuk kuliah atau acara lain.

Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Imam Masjid UBD, Awang Haji Abdul Warith Raini.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment