Oleh : Khartini Hamir & Aimi Sani
Bandar Seri Begawan (01/11/2010) - Chan Kew Hong meraih juara Kategori 'Class Open' manakala Luis Amirul bergelar juara Kategori 'Class Rotax' 125 dalam Perlumbaan Go-Kart Sempena Sambutan Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan Ke-40 Tahun yang berlangsung di Jalan Sultan petang kelmarin.
Naib juara 'Class Open' disandang oleh Luis Amirul dari Malaysia dan tempat ketiga dimenangi Jefry Suresh manakala naib juara 'Class Rotax' 125 diraih oleh Haji Harith dan tempat ketiga, Fong dari Malaysia.
Seramai 28 peserta termasuk lima dari negara jiran, Malaysia menyertai perlumbaan tersebut.
Hadir menyaksikan perlumbaan dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Tujuan perlumbaan itu ialah bagi memeriahkan lagi sambutan penukaran nama Bandar Brunei menjadi Bandar Seri Begawan, di samping menarik pengunjung dan pelancong berkunjung ke Bandar Seri Begawan.
Perlumbaan tersebut merupakan salah satu aktiviti sukan yang dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Brunei Tourism, Kenali Negara Kitani serta diusahakan bersama oleh Media Hub Entertainment dan Cityneon Brunei dan Radio Televisyen Brunei selaku penyiar rasmi.
Selain Insurans Islam TAIB yang menjadi penaja utama, Takaful Brunei Darussalam dan b.mobile juga turut menaja perlumbaan tersebut.
Sementara itu hadiah-hadiah bagi para pemenang perlumbaan ditaja oleh Seng Hoe Huat, PHILIPS dan disokong oleh YKF Master Sound.
Juga turut menaja perlumbaan itu beberapa buah syarikat swasta yang lain.
-- hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
Chan Kew Hong Dan Luis Amirul Masing-Masing Juara Perlumbaan Go-Kart
Posted by Neo Minda on 13:28
0 comments:
Post a Comment