Oleh : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (01/11/2010) - Gandingan Asp Zainddin dan S/Insp. Pengiran Abd. Aziz berjaya memberikan kemenangan mutlak kepada pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB) sekali gus menjuarai Kejohanan Badminton Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-jabatan di Bawahnya Tahun 2010 setelah menumpaskan gandingan Haji Sani dan Pengiran Mat Said dari Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Pasangan Asp Zainddin dan S/Insp. Pengiran Abd. Aziz yang bermain untuk regu ketiga bagi Kategori Bahagian II dan III ke atas dengan mudah mencapai kemenangan apabila menguasai gelanggang perlawanan dengan 'straight set' 2-0.
MSPDB menang dengan kiraan 21-16 pada set pertama dan 21-13 di set kedua.
Manakala dalam regu kedua bagi acara terbuka wanita pasangan W/PC 5134 Harni dan W/PC 5643 Siti Norkhatijah dengan mudah menyingkirkan gandingan Norjanah dan Norsyahirah dengan kiraan 2-0, 21-9 di set pertama dan 21-2 di set kedua.
Dalam acara VIP dan veteran pula MSPDB mendapat tentangan sengit apabila diheret untuk bermain di set ketiga setelah tewas di set pertama 21-23.
MSPDB yang mengandingkan SAC Pengiran Sulaiman dan Insp. Haji Sawal bangkit ke set kedua dengan kiraan 21-12 sekali gus memberi tekanan pasangan Haji Roslan dan Awang Hassan dari BKN dan menamatkan perlawanan di set ketiga dengan kiraan juga 21-12.
Menduduki tempat ketiga ialah pasukan Jabatan Perkhidmatan Elektrik manakala tempat keempat jatuh kepada pasukan Keselamatan Dalam Negeri.
Menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah kejohanan ialah Juruaudit Agung Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Awang Haji Mahadi bin Haji Ibrahim.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Audit ini disertai oleh JPM; Jabatan Audit; BKN; Biro Mencegah Rasuah; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri; Jabatan Perkhidmatan Awam; Polis Diraja Brunei; Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
-- hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
MSPDB Juara Kejohanan Badminton JPM Dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya
Posted by Neo Minda on 13:28
0 comments:
Post a Comment