Monday, 1 November 2010

Doa Kesyukuran Di Masjid Kampung Limau Manis

Twitter Facebook More

Oleh : Nooratini Hj. Abas

Mukim Pengakalan Batu (01/11/2010) - Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan, Negara Brunei Darussalam di lima buah masjid di keempat-empat daerah.


Di Daerah Brunei dan Muara doa kesyukuran diadakan di Masjid Kampung Limau Manis dan di Masjid Setia Ali, Pekan Muara.

Hadir menyertai para jemaah di Masjid Kampung Limau Manis, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPSSU, Dr. Haji Amin Liew bin Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap KPSSU, Awang Md. Riza bin Dato Paduka Haji Md. Yunos, pegawai-pegawai dan kakitangan KPSSU termasuk peladang, penternak dan nelayan yang tinggal berdekatan dengan masjid berkenaan.

Selesai menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib, para jemaah menunaikan Sembahyang Sunat Hajat diimamkan oleh Imam Haji Md. Jani @Abd. Jabbar bin Haji Abd. Majid diikuti membaca Surah Yaa Siin.

Para jemaah juga menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah diimamkan oleh Imam Haji Md. Sukry bin Abdullah.

Majlis yang sama juga diadakan di Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong, Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong.

Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan telah diisythiarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 November setiap tahun.

Tujuan utama sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan, Negara Brunei Darussalam adalah untuk memberikan pengiktirafan dan penganugerahan ke atas usaha-usaha peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini selain mengetengahkan pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan yang berjaya.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment