Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencatatkan seramai dua juta kanak-kanak telah menjadi mangsa pelacuran dalam perdagangan seks komersial sejagat.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Awang Bahrin bin Mohd. Noor di Majlis Pembukaan Rasmi Seminar Serantau Mengenai Penyeludupan Manusia Khususnya Dalam Penyeludupan Kanak-kanak berlangsung selama tiga hari di Bilik Persidangan Jade Purple, The Centrepoint Hotel, Gadong.
Awang Bahrin berkata, penyeludupan kanak-kanak yang dijadikan hamba seks akan memberi kesan yang akan menghancurkan kehidupan, trauma yang berpanjangan dari segi mental dan fizikal kepada kanak-kanak tersebut.
Beliau juga menekankan bahawa untuk menangani kesalahan jenayah seperti ini akan memerlukan kemahiran, pengetahuan dan usaha dari semua pihak iaitu kerjasama dari agensi-agensi penguatkuasaan, kesihatan, buruh, organisasi kebajikan, kerajaan dan bukan kerajaan yang saling memerlukan dalam menangani jenayah ini.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis yakin dengan berakhirnya seminar tiga hari itu mereka akan mendapat pengetahuan yang diperlukan bagi menangani kes-kes penyeludupan secara efisien dan efektif jika kes-kes serupa terjadi di negara mereka.
Seramai 37 peserta dari Perancis, Kemboja, China, Thailand, Malaysia, Republik Indonesia, Republik Singapura, Viet Nam, Republik Filipina dan Negara Brunei Darussalam menghadiri seminar tiga hari anjuran kerajaan Perancis dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) itu.
Negara Brunei Darussalam diwakili oleh PDB, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Aimi Sani)
Tuesday, 16 November 2010
Dua Juta Kanak-Kanak Jadi Mangsa Perdagangan Seks
Posted by Neo Minda on 20:29
0 comments:
Post a Comment