Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - Sekuriti makanan merupakan agenda yang paling hangat dibincangkan dan ditangani pada masa ini sama ada di dalam negeri dan serantau seperti di peringkat ASEAN, APEC dan OIC.
Di Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan mengenai pentingnya keselamatan makanan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-64 tahun.
Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Dayang Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Setia Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri menyatakan perkara itu semasa membuka rasmi Seminar Keselamatan dan Kawalan Kualiti Makanan Laut berlangsung di Cesar Grand Hall, Hotel Orchid Garden, di sini.
Menurutnya, pihak KPPSU, melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan menangani isu keselamatan makanan melalui beberapa cara.
Antaranya, jelas Dayang Hajah Normah Suria Hayati, ialah melalui pengawalan kurantina tumbuhan, ternakan, ikan dan udang yang diimport berdasarkan kepada beberapa akta tertentu.
"Kedua, membuat penganalisaan sisa baki racun, bahan pengawet dan antibiotik yang terdapat pada hasil ternakan, tanaman dan makanan laut keluaran tempatan dan yang diimport".
Beliau menjelaskan, usaha itu perlu ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan-peralatan makmal dan kakitangan serta memberikan latihan tertentu bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.
Selain dari itu tambahnya, usaha juga dijalankan dengan memeriksa ladang-ladang dan kolam-kolam serta mengenalkan sistem pengiktirafan ladang di mana pengusaha perlu melaksanakan sistem perladangan yang sistematik bagi mengelakkan pembaziran dan membolehkan pengawalan kandungan sisa racun, bahan pengawet dan lain-lain bahan ke tahap selamat.
Di samping itu ujarnya, pihak kerajaan juga bekerjasama dengan negara-negara pengeksport bagi memastikan hasil-hasil yang diimport ke negara ini terjamin keselamatannya.
Sementara itu Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Hasnah binti Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, seminar empat hari bermula dari 8 hingga 11 November itu adalah kesinambungan dari siri program yang disediakan oleh Jabatan Perikanan bagi meningkatkan kesedaran dan kapasiti pengusaha-pengusaha sektor perikanan khususnya dalam memastikan pengeluaran dan pemasaran makanan laut yang selamat lagi berkualiti.
Pagi tadi lebih kurang 100 peserta mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Perikanan Malaysia, Dr. Bah Piyan Tan mengenai Perspektif Keselamatan Makanan: Keperluan Masa Mendatang.
Keselamatan makanan adalah salah satu elemen dalam 'Sekuriti Makanan' yang didefinisikan oleh Persatuan Makanan dan Pertanian (FAO) sebagai sekuriti makanan terlaksana jika penduduk pada bila-bila masa boleh mendapatkan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat melalui fizikal, sosial atau ekonomi bagi menampung keperluan kesihatan serta mempunyai pilihan makanan untuk kehidupan aktif dan sihat. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Saerah Hj. Abd. Ghani)
Tuesday, 16 November 2010
Sekuriti Makanan Diberikan Perhatian
Posted by Neo Minda on 20:30
0 comments:
Post a Comment