Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Ha Noi, Viet Nam
Hanoi, Viet Nam (31/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyifatkan Sidang Kemuncak Timur Asia (EAS) sebagai forum yang bertepatan untuk membincangkan hal-hal strategik yang berkaitan dengan rantau ini, bagi mencari jalan di mana kerajaan terlibat akan bekerjasama menangani isu-isu kebimbangan umum.
Dalam konteks ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam menghargai aktiviti-aktiviti yang telah diambil oleh EAS.
Baginda bertitah demikian ketika menghadiri Sidang kemuncak EAS Ke-5 (EAS Summit 5), di Pusat Persidangan Kebangsaan di Ha Noi yang dihadiri sama oleh Ketua-ketua Negara ASEAN, Ketua-ketua Negara Sidang Asia Timur yang lainnya seperti China, Jepun, Korea Selatan, Republik India, Australia dan New Zealand.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Russia, Tuan Yang Terutama Sergey Medvedev; Setiausaha Negara Amerika, Puan Yang Terutama Hillary Clinton juga hadir sama pada penghujung sidang kemuncak selaku tetamu Pengerusi Sidang.
Semasa bertitah baginda juga menegaskan Negara Brunei Darussalam menghargai kerjasama EAS di bidang tenaga, yang mana telah meningkatkan usahah mempromosi penggunaan tenaga secara efisien, penjimatan tenaga dan teknologi bersih.
Ke arah ini baginda mengalu-alukan Sidang Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Ke-5 yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam.
Baginda juga bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam memandang isu alam sekitar dan pengurusan sumber asli yang berdaya saing sebagai isu yang perlu diutamakan dalam pembangunan ekonomi dan sosial jangka panjang bagi rantau ini. Baginda merasakan EAS boleh memainkan peranan yang positif dalam perbincangan mengenai isu-isu berkenaan.
Dengan demikian titah baginda Negara Brunei Darussalam ingin melihat kerjasama di bidang pendidikan diluaskan dan mengalu-alukan usaha mengadakan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan yang pertama tidak lama lagi.
Dalam usaha-usaha EAS seterusnya baginda mencadangkan forum tersebut akan dapat memberikan tumpuan kepada bidang penting seperti pengurusan bencana, di samping dapat mengeratkan lagi kerjasama ekonomi yang ada pada masa ini.
Baginda juga mengalu-alukan penglibata Amerika Syarikat dan Russia ke Sidang EAS.
-- Hak milik Pelita Brunei
Monday, 1 November 2010
EAS Perlu Serius Isu Alam Sekitar Dan Pengurusan Sumber Asli
Posted by Neo Minda on 12:38
0 comments:
Post a Comment