Monday, 1 November 2010

Brunei Alu-Alukan 'Program Diplomasi Pertanian' Ke Arah Memastikan Keselamatan Makanan, Pengeluaran Hasil Berdaya Saing

Twitter Facebook More

Laporan : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor dari Ha Noi, Viet Nam

Hanoi, Viet Nam (31/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan pengumuman mengenai empat inisiatif utama New Zealand, kemasukan kuasa mengenai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand dan kenaikan taraf kerjasama ASEAN-New Zealand menjadikannya lebih komprehensif dengan lulusnya Kenyataan Bersama bagi Kerjasama Komprehensive (Joint Declaration for Comprehensive Partnership) dan pelan tindakan mengenainya untuk lima tahun berikutnya.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan demikian dalam Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand diadakan di Ha Noi, Viet Nam bersama Perdana Menteri New Zealand, Tuan Yang Terutama John Key.

Dalam sidang ini, baginda dan Ketua-ketua Negara ASEAN dan New Zealand bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan kerjasama ASEAN-New Zealand.

Dalam titah baginda, New Zealand adalah rakan kerjasama lama kepada ASEAN dan telah menikmati kerjasama dalam pelbagai bidang yang meliputi sosiobudaya hingga kerjasama keselamatan.

Baginda seterusnya bertitah mengenai inisiatif-inisiatif utama seperti 'Program Diplomasi Pertanian' dan 'Program Pertukaran Pemimpin Perniagaan Muda' adalah sangat menarik bagi Negara Brunei Darussalam dan 'Program Diplomasi Pertanian', terutamanya boleh membantu negara ini mencapai matlamatnya memastikan keselamatan makanan dan pengeluaran hasil yang berdaya saing.

Dalam titah baginda juga berasa puas hati atas kerjasama dalam pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber asli dan pengurusan hutan yang berdaya saing yang termasuk dalam Kenyataan Bersama Dalam Pelan Tindakan Rakan Kongsi Komprehensif (Joint Declaration for Comprehensive Partnership).

Hadir sama di sidang kemuncak berkenaan ialah Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haj Ibrahim dan Menteri Hal EHwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng serta pegawai-pegawai kanan.

-- Hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment