Wednesday, 3 November 2010

Gerai Jalan Residency Masih Jadi Tumpuan

Twitter Facebook More

Oleh Sham

Bandar Seri Begawan (02/11/2010) - Gerai makan Jalan Residency menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan, malahan pelancong asing yang inginkan suasana makan pinggir sungai.


Terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan, ia mula dibina sekitar tahun 1960an, dan merupakan salah satu warung tertua di negara ini. Suasananya yang nyaman dan tenang menghadap Kampong Ayer yang terkenal di mata dunia, gerai-gerai di sini mula beroperasi pada waktu pagi lagi sehinggalah larut malam. Namun waktu paling sibuk ialah di waktu petang sampai ke malam dan hujung minggu serta cuti am.

Pelanggan boleh memilih untuk duduk di ruang terbuka menghadap laut atau di tempat tertutup di gerai-gerai yang menghidangkan pelbagai jenis hidangan tempatan ini. Turut dihidangkan ialah masakan Barat. Sate bagaimanapun paling laris permintaannya di sini, apa lagi ia disediakan oleh sebuah keluarga yang menjualnya turun temurun.

Kreativiti pemilik gerai dan hiburan percuma termasuk TV satelit lengkap menjadi tarikan kepada pelanggan. Ada yang memberikan suasana yang moden dan rapi, dengan susunan menarik dan mengutamakan keselesaan kepada pelanggan dengan pelbagai hiasan.

Kemudahan jeti turut memberikan kesenangan kepada penduduk yang tinggal di Kampong Ayer, dan salah satu daripadanya ialah jeti Titian Amal yang disumbangkan oleh batalion pertama Tentera Darat Diraja Brunei dan siap dibina dalam tahun 1997.

Dengan kafe dan restoran tumbuh bak cendawan di seluruh negara, gerai-gerai di sini masih lagi tetap utuh dan jadi tumpuan orang ramai yang inginkan kelainan.

-- Hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment