Seria (09 November 2010) - Para penduduk Kampung Lorong Tiga Selatan bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, anggota polis, anggota bomba dan penyelamat Cawangan Operasi 'B' dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid hari ini mengadakan Majlis Menyertu Bangunan Masjid Baru Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga Selatan.
Tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad yang juga Ketua Kampung Lumut 1 menyertai bersama-sama menyertu keseluruhan bangunan masjid tersebut bagi memastikan kebersihannya sebelum pemasangan permaidani dilaksanakan dan sebelum masjid tersebut digunakan sepenuhnya.
Turut hadir, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Haji Matzin bin Haji Muntol dan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Pengiran Ibrahim bin Pengiran Haji Mohd. Yusof.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al Faatihah dan doa selamat diketuai oleh Imam Masjid berkenaan, Awang Haji Ibrahim bin Daud.
Awang Haji Ibrahim ketika ditemui memberitahu tiga hari selepas majlis menyertu tersebut akan dilaksanakan penentuan arah kiblat dan pemasangan permaidani.
Bangunan masjid baru yang berkeluasan tiga ekar itu letaknya bertentangan dengan surau yang ada di kawasan perumahan tersebut dan kerja-kerja pembinaannya telah bermula 7 Julai tahun lepas dengan menggunakan Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam Brunei melalui Asnaf Al-Gharimin dan wakaf persendirian berjumlah BND993,142.
Masjid tersebut dijangka boleh menampung lebih kurang 1,000 jemaah. Antara kemudahan yang terdapat di masjid itu nanti meliputi dewan solat jemaah lelaki, ruang solat jemaah perempuan, bilik pegawai masjid, bilik perpustakaan, bilik air dan tempat berwuduk bagi jemaah lelaki dan perempuan yang berasingan serta dilengkapi dengan alat penghawa dingin.
Pada ketika ini para jemaah masjid menggunakan surau yang ada itu dan apabila masjid tersebut siap sepenuhnya, surau tersebut akan menempatkan kelas-kelas agama, pejabat dan kursus nikah kahwin. Dalam masa yang sama juga akan dilaksanakan ubah suai dan membaik pulih secara berperingkat-peringkat. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj. Omaralli)
Tuesday, 16 November 2010
Menyertu Bangunan Masjid Baru Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga Selatan
Posted by Neo Minda on 20:33
0 comments:
Post a Comment