Tuesday, 16 November 2010

11.8 Peratus Diperuntukkan Bagi Projek Pembangunan Sumber Manusia Dan Pendidikan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (09 November 2010) - 11.8 peratus dari jumlah keseluruhan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012 telah diperuntukkan bagi program dan projek pembangunan sumber manusia dan pendidikan.


Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Daud bin Haji Mahmud ketika berucap menjelaskan, peruntukan tambahan juga disediakan bagi projek pendidikan dan perkembangan dalam sains dan teknologi.

Ini jelasnya, memperlihatkan komitmen negara dalam menyokong pembangunan sumber manusia.

Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) Kementerian Pendidikan, menyatakan perkara tersebut semasa merasmikan Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah/Jawatankuasa Kemudi Ke-17 dan Mesyuarat Tahunan 2010 bagi Rangkaian Universiti ASEAN bagi Rangkaian Pembangunan Teknik Pendidikan Asia Tenggara (AUN-SEED/Net) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong di sini.

Menurutnya, penyertaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Teknologi Brunei (ITB) dalam AUN-SEED/Net adalah penting di rangkaian tersebut dalam bekerjasama bagi mendukung visi dan misi masing-masing pada masa depan.

Seterusnya beliau menyatakan sokongan program AUN-SEED/Net dengan tekanan spesifik pada kerjasama penyelidikan dalam bidang-bidang utama seperti pengurangan bencana, persekitaran global, tenaga baru/boleh diperbaharui, bahan-bahan/sumber-sumber asli dan bioteknologi merupakan cara maju dalam usaha mengatasi fenomena itu.

Rangkaian kerjasama perkembangan pendidikan kejuruteraan ASEAN-SEED/Net bertujuan dalam mempromosikan perkembangan sumber manusia dalam kejuruteraan ASEAN.

Juga hadir, Naib Canselor UBD, Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Naib Canselor ITB, Dato Paduka Dr. Haji Omar bin Haji Khalid dan para perwakilan universiti negara-negara ASEAN dan Jepun. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

0 comments:

Post a Comment