Tungku (12 November 2010) - Kegembiraan jelas terbayang di wajah para graduan yang selama ini bertungkus lumus, bersusah payah berusaha untuk meraih kejayaan dengan dianugerahkan Diploma Kebangsaan, Sijil Kebangsaan, Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 2 dan Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 3 dalam berbagai jurusan di Majlis Konvokesyen Kebangsaan Institusi-institusi Pendidikan Teknik dan Vokasional Kali Ke-14 di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Mereka menyatakan rasa gembira dan syukur diatas pencapaian tersebut sebagaimana yang diluahkan oleh Dayang Rohaya binti Juin, ketika ditemui semasa menerima sijil dan anugerah pelajar terbaik kursus Pra Diploma Kebangsaan dalam jurusan 'Building Services Engineering', di Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB).
"Alhamdulillah, Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas penganugerahan yang diberikan dan amat berterima kasih kepada guru-guru serta kawan-kawan yang banyak menolong disepanjang program yang saya ikuti ini," jelasnya.
Untuk mencapai kelulusan yang tinggi katanya, kita sebagai penuntut hendaklah sentiasa mengambil perhatian yang kepada guru-guru serta memperbanyakkan perbincangan bersama pelajar senior mahupun kawan sepengajian.
Awang Mohammad Safiyullah bin Anuar, 23, seorang penerima sijil dan anugerah pelajar terbaik yang menuntut di Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR) yang mengikuti kursus Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 2 dalam jurusan Electrical, berharap dengan kejayaan di bidang tersebut akan dapat memantapkan dan memajukan diri khususnya dalam bidang pendidikan.
"Kejayaan ini adalah sebagai salah satu langkah pertama untuk dorongan bukan sahaja pada saya sendiri tetapi kepada mereka yang masih belajar dan saya merasa amat bersyukur kerana terpilih sebagai pelajar terbaik," terangnya.
Beliau menambah, kejayaan ini tidak akan berhenti setakat ini, sebaliknya pembelajaran tetap diteruskan dengan tidak mengenal putus asa.
Sementara itu, Awang Rosman bin Haji Mohin, 38, menuntut di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) mengambil kursus National Diploma Kebangsaan dalam jurusan 'Construction' juga melahirkan rasa gembira kerana berjaya mengatasi segala cabaran dan dugaan sepanjang mengikuti program yang mengambil masa selama tiga tahun itu.
"Saya merasa bangga atas kejayaan yang diperolehi dan merasa amat beruntung menjadi penuntut MTSSR hingga mencapai ke tahap yang diingini," jelasnya.
Semasa menjalani kursus Awang Rosman juga menjalani penempatan kerja di Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya selama enam bulan yang memberikan pelbagai pengalaman serta mempelajari teknik baru yang tidak pernah dipelajari semasa di kolej. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Saerah Haji Abd. Ghani)
Thursday, 18 November 2010
Para Graduan Lahirkan Kegembiraan Dan Syukur Di Anugerah Pelajar Terbaik
Posted by Neo Minda on 11:24
0 comments:
Post a Comment