Tuesday, 16 November 2010

Para Penerima Kurnia Gembira, Menjunjung Kasih

Twitter Facebook More

Kuala Belait (08 November 2010) - Jika sudah rezeki tidak akan hilang ke mana, demikianlah halnya dengan para penerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada hari ini, melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas rezeki yang mereka terima tidak sangka-sangka itu.
Para penerima juga tidak lupa merafakkan sembah kesyukuran dan menjunjung kasih kehadapan majlis baginda atas kemurahan hati mengurniakan kurnia tersebut yang begitu besar ertinya bagi mereka.

Dayang Jamilah binti Taha, 54, merupakan seorang ibu tunggal gembira dan bercampur terharu menerima kurnia tersebut menyatakan, ”Syukur alhamdulillah hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati ini menerima kurnia tersebut, semoga Allah melanjutkan usia baginda serta sentiasa sihat walafiat, dimurahkan rezeki, hidup sejahtera dan sentiasa dalam peliharaan Allah”.

Dayang Jamilah tinggal di Berek Kerajaan Jalan Bolkiah, Seria bersama seorang anak perempuanya berusia 11 tahun. Beliau tidak mempunyai pekerjaan hanya menerima bantuan JAPEM setiap bulan sebanyak BND250 manakala anaknya BND60. Dengan wang bantuan tersebut beliau membeli barang keperluan harian dan membayar bil air dan elektrik serta sewa berek dan keperluan sekolah anaknya.

Katanya, wang bantuan tersebut tidak mencukupi untuk menyara kehidupan dia dan anaknya lebih-lebih lagi harga barang sekarang melambung tinggi namun beliau tetap bersyukur dengan bantuan tersebut dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah bermurah hati memberikan bantuan tersebut kepadanya.

Manakala Dayang Azizam binti Haji Tuah, 63, seorang balu juga sungguh gembira menerima kurnia peribadi baginda itu. Katanya, kurnia tersebut merupakan rezeki yang tidak diduganya sama sekali dan beliau bersyukur dan menjunjung kasih ke hadapan majlis baginda atas kemurahan hati baginda itu yang sangat perihatin akan nasib rakyat dan penduduk negara ini terutama mereka yang serba kekurangan.

Dayang Azizam tinggal di Kampung Baru, Seria menerima wang bantuan dari Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) baru-baru ini dan selain itu juga menerima pencen tua.

Dengan adanya kurnia tersebut tambahnya, beliau akan berusaha berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan harian bagi menyara kehidupannya bersama dua orang anak yang masih dibawah tanggungannya.

Sementara itu salah seorang warga Nepal, Kabita Gurung, 29, turut gembira menerima kurnia tersebut bagi anak lelakinya yang lahir lebih sebulan yang lalu. Beliau yang baru tinggal di negara ini bulan Ogos tahun lepas tidak menduga anak ketiganya itu membawa rezeki kepadanya. Beliau juga menjunjung kasih atas kurnia peribadi baginda itu.

Begitu juga Dayang Noorhanani binti Haji Osman, 24, yang melahirkan anak pertamanya seorang perempuan yang diberi nama Syaza Wadhihah binti Mohammad Sabri pada 18 Januari lalu juga gembira dan menjunjung kasih ke hadapan majlis baginda.

Ibu muda yang tinggal di Sungai Liang merupakan surirumah bersyukur kepada Allah dan tidak menyangka dikurniakan rezeki tersebut.

Beliau tidak lupa mendoakan semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat, dimurahkan rezeki dan semoga hidup bahagia dan sejahtera selalu.

Seorang wanita warga Peru, Juliana Cea, 31, yang baru tinggal di negara ini lebih satu tahun kerana mengikut suaminya yang bekerja di Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) gembira dan menyifatkan anak pertamanya itu seorang perempuan yang lahir di negara ini lapan bulan yang lalu membawa tuah dalam rumah tangganya.

Beliau seterusnya menjunjung kasih ke hadapan majlis baginda atas kemurahan hati baginda itu. “Rakyat dan penduduk negara ini sungguh bertuah memiliki baginda yang baik hati, pemurah, berhati mulia, bersifat penyayang dan perihatin kepada rakyat baginda,” ujarnya.

“Semoga baginda berdua dan anakanda-anakanda baginda serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain dan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan sentiasa hidup dalam aman makmur,” tambahnya.


-- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj. Omaralli)

0 comments:

Post a Comment