Muara (10 November 2010) - Para pengusaha kapal penangkapan ikan perlu memastikan kebersihan, kualiti dan tahap keselamatan hasil perolehan sentiasa terjamin, selamat dan berkualiti tinggi.
Sehubungan itu, para peserta Seminar Keselamatan dan Kawalan Kualiti Makanan Laut Sektor Penangkapan, petang tadi mengikuti praktikal pemeriksaan organoleptik dan pengendalian hasil tangkapan.
Tunjuk cara disampaikan oleh Ketua Cawangan Kesihatan Awam, Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Dr. Bah Piyan Tan, di Kompleks Pendaratan Ikan, Jabatan Perikanan, di sini.
Dr. Bah Piyan Tan menyeru para pengusaha kapal supaya sentiasa mementingkan aspek amalan kebersihan di atas kapal penangkapan ikan.
Antaranya ujarnya, menitikberatkan kemudahan senitasi, tempat membasuh tangan, tandas, bilik mandi dan juga kebersihan di atas dek-dek kapal dan petak-petak penyimpanan ikan.
Selain itu tambahnya, petak-petak penyimpanan ikan hendaklah sentiasa dipantau suhunya antara 0-5 darjah Celsius, agar ikan-ikan tersebut sentiasa dalam keadaan segar dan tidak mudah rosak.
Juga perlu diambil perhatian katanya ialah kru-kru kapal sentiasa mengamalkan kebersihan diri di atas kapal apabila mereka mengendalikan ikan-ikan yang ditangkap.
Mereka perlu memakai pakaian yang bersesuaian, sarung tangan, menggunakan kasut bot, mengenakan apron yang sesuai, termasuk topi supaya mereka tidak mendedahkan kuman/bakteria kepada ikan tersebut secara langsung (direct-contamination).
Sementara itu Pegawai Perikanan, Dayang Hajah Laila binti Haji Hamid menjelaskan, praktikal itu dikhususkan bagi pengusaha-pengusaha kapal penangkapan ikan di Brunei.
Bagaimanapun sesi praktikal itu juga disertai oleh beberapa orang penuntut dari Sekolah Vokasional Wasan.
Dayang Hajah Laila berkata, para pengusaha kapal penangkapan ikan perlu peka dalam tatacara pengendalian ikan yang betul antaranya mengikut nisbah yang ditetapkan dalam pengendalian ikan iaitu satu kilogram ikan dengan satu kilogram ais, memeriksa indeks kesegaran ikan dengan mengisikan borang yang disediakan oleh Jabatan Perikanan dengan melihat beberapa kriteria seperti melihat keadaan fizikal ikan, mata, permukaan badan, insang dan otot ikan dalam memastikan kesegaran ikan itu sentiasa terjamin.
Selain itu katanya, para peraih ikan atau para pengusaha kapal dilarang sama sekali menggunakan bahan pengawet kerana ia boleh membawa kesan sampingan yang memudaratkan kepada kesihatan seperti boleh menyebabkan barah. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Khartini Hamir)
Wednesday, 17 November 2010
Pastikan Ikan Tangkapan Bersih, Berkualiti Dan Selamat
Posted by Neo Minda on 20:38
0 comments:
Post a Comment