Tuesday, 16 November 2010

Pemimpin Sekolah Dituntut Bersikap Proaktif

Twitter Facebook More

Temburong (08 November 2010) - Tugas seorang pemimpin sekolah merupakan suatu tugas yang sangat mencabar dan memerlukan kecekalan, ketabahan dan kesabaran.


Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Awang Haji Muhd. Masa Masdi berucap demikian di Majlis Perkampungan Profesional dan Sosial (PROSO) Ke-9 di Dewan Serbaguna Sekolah Rendah Sultan Hassan di sini.

Beliau berkata, para pemimpin sekolah dituntut agar mempunyai sikap proaktif, berdaya saing dan bermotivasi tinggi dalam menerajui sesebuah sekolah.

Para pemimpin sekolah tambahnya, akan dapat berganding bahu dan berinteraksi dengan lebih dekat serta dapat bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran serta berkongsi pengalan dengan adanya perkampungan seumpama itu.

Menurutnya, melalui aktiviti profesional para pemimpin sekolah akan dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab serta meningkatkan kemahiran bekerjasama dalam melaksanakan tugasan dengan lebih efisien.

Seramai 198 pemimpin sekolah yang terdiri daripada guru-guru besar dan penolong guru besar serta para pegawai Bahagian Rendah Kementerian Pendidikan menyertai Program PROSO yang dianjurkan setiap tahun sejak dari tahun 2000.

Program berkenaan adalah sempena Sambutan Hari Guru Ke-20 dan tema yang dipilih ialah ‘Guru Gemilang Pelajar Cemerlang’.

Adapun objektif PROSO itu antara lain bagi mengeratkan tali silaturahim di kalangan peserta Jawatankuasa Pemimpin Sekolah Rendah (JAPSER) Senegara sambil mengenal dan menjalin hubungan para peserta dengan masyarakat setempat.

-- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

0 comments:

Post a Comment